Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Op SAR: kumpulan sukarelawan tawar diri bantu kesan Nora Anne


Tarikh kemaskini: 11/08/2019





NILAI, 11 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos, hari ini turut mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

Wakil kumpulan berkenaan, Kenny Chan Kai Sian, 43, berkata kumpulan mereka menyertai operasi SAR itu pada pukul 9.30 pagi tadi dan tertumpu di kawasan satu kilometer daripada resort yang diinap keluarga mangsa.

“Sepatutnya petang ini ada sesi kedua tetapi kami putuskan untuk pulang dahulu untuk mendapatkan rehat yang cukup sebagai persediaan pencarian esok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai, Seremban, hari ini. 

Esok, kumpulan berkenaan yang terdiri daripada 12 orang berumur antara 17 dan 62 tahun itu akan meredah Gunung Berembun bagi membantu menjejaki Nora Anne.

Chan yang mempunyai pengalaman mendaki Gunung Berembun sebelum ini berkata pencarian hari ini agak mencabar ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu sejak dua tiga hari ini.

“Laluan menjadi licin dan berlumpur dan ia menyukarkan perjalanan setiap daripada mereka yang terlibat dalam operasi ini. Hari ini kami ada 12 orang sahaja, kami jangka esok akan lebih ramai sertai kami,” katanya. 

Dalam pada itu, Chan juga mengalu-alukan mana-mana pendaki yang berkelapangan untuk turut serta membantu operasi SAR itu.

Sementara itu, kebajikan pengamal media yang membuat liputan kes kehilangan remaja berkenaan juga turut menarik perhatian seorang lagi sukarelawan dari Hospital Ampang, Zamila Majlis, 59, yang hadir ke lokasi hari ini bagi memberi kata-kata semangat dan sumbangan makanan.

“Saya dilahirkan dan membesar di kampung ini dan kebetulan saya pulang beraya. Jadi terpanggil untuk datang ke sini dan melihat petugas media yang bekerja walaupun raya. Sebelum ini tiada kejadian orang hilang sangat lama seperti ini.

“Saya berdoa dan berharap mangsa dapat ditemui dengan selamat... sekiranya ada apa-apa lagi diperlukan, saya akan bantu,” katanya.

Pada 4 Ogos lepas, remaja Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba bersama ibu bapanya di Malaysia pada Sabtu, 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menyeru semua ahlinya supaya turut serta membantu misi mencari dan menyelamat Nora Anne.

Beliau berkata MCPF amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung keluarga remaja itu.

"Marilah kita semua berdoa agar Nora Anne selamat dan segera dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel