Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ribut: MOA arah agensi periksa kerosakan kawasan pertanian


Tarikh kemaskini: 11/08/2019





JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)  sudah meminta pegawai-pegawai di agensi berkaitan untuk turun padang membuat pemerhatian terhadap kawasan-kawasan pertanian di negeri Utara yang terjejas akibat kejadian ribut, dua hari lepas.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata pemerhatian dibuat pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan juga pejabat-pejabat Jabatan Pertanian di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Ini bagi membolehkan satu laporan terperinci dibuat berhubung kerosakan yang dialami petani akibat bencana itu.

“Sebaik sahaja saya masuk ke pejabat (bertugas semula) pada Selasa ini, saya akan lihat laporan yang diberikan, untuk pastikan apakah bentuk-bentuk bantuan yang perlu disalurkan,” kata beliau kepada pemberita pada Program Korban Hari Raya Aidiladha di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas.

Jumaat lepas, beberapa kawasan terjejas akibat bencana itu antaranya ialah Langkawi, Alor Setar Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian ribut di beberapa negeri itu berpunca daripada taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

Sementara itu, berhubung proses pengambilalihan National Feedlot Corporation (NFC), Salahuddin berkata ia sudah semakin hampir dimuktamadkan, kerana kerajaan sudah mencapai kata persetujuan daripada sebuah syarikat berkenaan, untuk membayar balik sepenuhnya baki pinjaman yang diberikan kepada NFC oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, pembayaran balik pinjaman itu adalah sebahagian daripada syarat yang ditetapkan kerajaan kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengambil alih NFC.

Tambahnya, syarikat itu yang merupakan syarikat tempatan, juga telah menyatakan minatnya sejak awal dan sudah mengadakan rundingan hampir enam kali bersama kementeriannya.

“Syarikat itu sudah bersetuju untuk membayar pinjaman dan kita akan mengadakan pertemuan lagi dalam tempoh terdekat untuk menyelesaikan beberapa isu termasuk perundangan. Pertemuan ini akan melibatkan pihak MOA, Kementerian Kewangan dan pihak Jabatan Peguam Negara. 

“Saya mahu ia (pengambil alihan projek) dipercepatkan, supaya syarikat yang baharu itu boleh terus memajukan projek. Ini baik untuk MOA dan rakyat, kerana kita mahu meningkatkan kita punya industri ruminan dalam negara,” katanya.

NFC ditubuhkan untuk membangunkan industri daging lembu terancang, bersepadu dan mampan sebagai langkah meningkatkan bekalan daging tempatan sebanyak 30 peratus namun telah berdepan kontroversi ketika pentadbiran kerajaan lalu.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel