Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPM: sejumlah 329 sekolah, institusi pendidikan alami kerosakkan akibat ribut


Tarikh kemaskini: 10/08/2019




GEORGE TOWN, 10 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti 329 sekolah dan Institusi Pendidikan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu, yang mengalami kerosakkan akibat dilanda Taufan Lekima semalam.

Dalam satu kenyataan, pihak KPM menganggarkan kerosakkan di tujuh negeri tersebut berjumlah RM20 juta dan tindakan sedang diambil, untuk membaiki kerosakkan tersebut.

"Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengambil tindakan segera, membaiki kerosakan yang berlaku dengan menyalurkan peruntukan kecemasan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan agensi yang terlibat, supaya tindakan pembaikan dapat dilaksanakan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, setakat 5 petang hari ini, kerosakan yang dilaporkan di tujuh negeri-negeri adalah Kedah melibatkan 115 sekolah, tiga kompleks kuarters, sebuah Institut Latihan dan dua Institut Pendidikan Tinggi Awam; Pulau Pinang melibatkan 101 sekolah, empat kompleks kuarters dan dua Institut Latihan dan Perlis melibatkan 58 sekolah.

Selain itu, kerosakkan akibat ribut turut dilaporkan di Selangor melibatkan 32 sekolah dan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam; Terengganu melibatkan tujuh sekolah dan sebuah Institut Latihan; Perak melibatkan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam; dan Pahang melibatkan sebuah sekolah.

Hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang dan bumbung diterbangkan angin, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas.

Di Pulau Pinang, dilaporkan 300 kejadian pokok tumbang dengan tiga buah pusat pemindahan sementara dibuka, melibatkan 71 mangsa, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Tinjauan Bernama setakat 8 malam mendapati ketiga-tiga pusat pemindahan iaitu Masjid Kuala Juru, Dewan Kafa Kuala Juru di Seberang Perai, dan satu lagi di Masjid Hashim Yahya di bahagian pulau negeri, masih dibuka, untuk penempatan sementara mangsa-mangsa yang rumah mereka mengalami kerosakkan struktur.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel