Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki maut ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan maut ditetak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah taman permainan di Taman Sri Pulai, Kangkar Pulai, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian pada pukul 12.50 tengah malam itu berlaku ketika mangsa berumur 20 tahun sedang minum minuman keras bersama empat rakannya  di taman berkenaan.

Beliau berkata kemudian, 10 lelaki tidak dikenali yang menaiki tiga kenderaan iaitu Proton Wira, Mitsubishi Storm dan Proton Waja tiba-tiba datang dan menyerang mereka.

“Mangsa ditetak di bahagian kepala dan tangan manakala seorang rakannya yang berusia 21 tahun ditetak di bahagian bahu. Tiga rakan lain tidak mengalami kecederaan. 

“Difahamkan mangsa yang berlumuran darah dan rakan-rakannya sempat melarikan diri kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian untuk meminta bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata orang awam yang melihat kejadian membantu menghubungi ambulans yang tiba 10 minit kemudian.

Bagaimanapun, sebaik sampai di Hospital Sultanah Aminah di sini untuk mendapatkan rawatan, mangsa didapati telah meninggal dunia. 

Seorang rakannya yang turut cedera dalam kejadian itu pula masih dirawat di hospital sama.

Dzulkhairi berkata setakat ini, lima suspek berjaya ditangkap dan mereka berumur antara 18 hingga 25 tahun.

Tangkapan dibuat antara pukul 10 pagi hingga 4 petang tadi di sekitar kawasan Iskandar Puteri  dan Skudai.

“Kita masih memburu suspek-suspek lain dan buat masa ini tidak dapat dipastikan motif sebenar kejadian atau sama ada kumpulan berkenaan adalah kongsi gelap ataupun tidak,” katanya.

Menurutnya, permohonan reman bagi kelima-lima suspek tersebut akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel