Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Op SAR: skala pencarian Nora Anne dikecilkan


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





NILAI, 10 Ogos (Bernama) -- Skala pencarian remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata ini kerana polis percaya remaja itu tidak akan pergi jauh dari chalet yang diinap keluarganya.

Bagaimanapun katanya setakat ini belum ada petunjuk positif terhadap usaha pencarian Nora Anne, yang hari ini memasuki hari ketujuh selepas dia dilapor hilang pagi Ahad, dan turut menegaskan polis akan berusaha sedaya upaya untuk menjejakinya.

“Anggota SAR (mencari dan menyelamat) akan membuat penelitian yang lebih terperinci di kawasan pencarian yang memfokuskan kawasan curam, celah-celah semak dan batu serta kawasan penginapan keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pantai, Seremban, hari ini.

Mohamad berkata siasatan yang dijalankan polis meliputi pelbagai sudut, termasuk mengambil keterangan daripada pemandu teksi yang membawa keluarga Nora Anne ke resort berkenaan selain menjalankan siasatan terhadap penduduk yang mempunyai rekod jenayah lampau.

Setakat ini polis tidak mempunyai sebarang bukti bagi mengaitkan kejadian itu dengan kes penculikan, katanya. 

Ditanya mengenai tempoh operasi itu akan dijalankan, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh dan menegaskan ia bergantung kepada keadaan dan petunjuk yang diperolehi kelak.

Sementara itu, Mohamad berkata anggota yang terlibat dalam operasi diberi perlepasan untuk menunaikan solat Aidiladha esok.

Operasi SAR hari ini melibatkan 317 anggota berbanding 261 anggota semalam.

Selain pelbagai unit Polis Draja Malaysia (PDRM), agensi lain yang turut terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Ahad lepas, Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu, dilapor hilang selepas tiba bersama ibu bapanya di Malaysia pada Sabtu, untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel