Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPHF sedia bantu 26 jemaah haji terkandas 


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pusat Perunding Haji Furada (PPHF) sedia membantu 26 jemaah haji Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah berikutan masalah visa Furada Selasa lepas.  

Ketua Pengarah PPHF Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata, kesemua mereka boleh menghubungi pihaknya supaya dapat dipertimbangkan untuk mendapat tempat menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun hadapan. 

“Kita minta jemaah yang terkandas baru-baru ini hadir ke pejabat kami di Shah Alam bagi kita ambil butiran dan maklumat mereka supaya kita boleh bantu untuk proses rundingan. 

“Kita akan beri maklumat itu kepada Kedutaan Arab Saudi dan kita akan berusaha agar mereka diberi peluang mendapat kelulusan visa Furada bagi musim depan. Namun apa pun ia masih tertakluk kepada keputusan Kedutaan Arab Saudi,” katanya kepada Bernama, hari ini. 

Selasa lepas, 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji Furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia.

Visa Furada (persendirian) adalah visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi dan tidak melibatkan Lembaga Tabung Haji atau kuota haji sesebuah negara.

Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.

Mengulas lanjut, Ahmad Tajuddin berkata satu badan penyelia dan penyelaras khas diperlukan bagi menguruskan jemaah haji Malaysia yang menggunakan visa Furada.

“Buat masa ini tiada one stop centre yang mengendalikan visa Furada, kita perlu satu badan yang boleh membantu jemaah menyusun daripada proses mula memohon visa hingga pemilihan pakej dan segala urusan rasmi lain,” tambahnya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dalam satu kenyataan berkata TH tidak bertanggungjawab menguruskan visa Furada kerana ia dikendalikan secara terus oleh agensi-agensi pelancongan dan umrah serta pihak individu bersama kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

OKU mengaku tidak salah lakukan amang seksual terhadap anak kandung

 
     

Anggota JPJ Terengganu menyamar penumpang bas ekspres

 
     

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel