Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keputusan kekal atau pindah kilang bateri di Jenjarum diumum hujung bulan ini


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





SHAH ALAM, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri akan membuat keputusan pada akhir bulan ini berhubung operasi sebuah kilang membuat bateri di Jenjarom, Kuala Langat dekat sini sama ada dikekalkan atau dipindahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata pihaknya telah mengarahkan beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan siasatan dan kajian ke atas kemungkinan berlaku pencemaran terhadap air, tanah dan udara akibat aktiviti kilang berkenaan.

“Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telahpun diarahkan untuk menyelaras dan mengumpul hasil kajian berkenaan dan laporan penuh hasil kajian perlu diserahkan pada pertengahan bulan ini kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor sebelum keputusan sama ada mengekalkan atau memindahkan kilang berkenaan ke lokasi lain dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, satu perhimpunan aman diadakan oleh penduduk yang tinggal di sekitar kilang berkenaan bagi membantah tindakan MDKL mengeluarkan lesen operasi sementara kepada kilang berkenaan selepas menerima surat sokongan daripada JAS Putrajaya.

Hee berkata Kerajaan Negeri sentiasa menghormati hak perhimpunan serta hak bersuara oleh rakyat dan bersedia mendengar dan berbincang dengan semua pihak dalam hal pembangunan terutama yang melibatkan kepentingan orang ramai.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa mengambil berat tentang isu pencemaran alam sekitar dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar atau tidak mematuhi piawaian dan peraturan yang sedia ada.

“Bagaimanapun kerajaan negeri juga perlu bertindak adil kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelabur yang menjalankan perniagaan di negeri ini jika mereka mematuhi dan membuat permohonan di bawah segala syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Hee berkata beliau berharap penduduk sekitar kilang berkenaan bersabar sementara menunggu hasil kajian dan keputusan kerajaan negeri.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel