Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pastikan keselamatan dan kesihatan semasa laksana ibadah korban - MSOSH


Tarikh kemaskini: 10/08/2019




KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) mengingatkan umat Islam yang akan menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha agar meletakkan aspek keselamatan dan kesihatan sebagai satu keutamaan ketika menjalankan ibadah itu.

Presidennya, Khairuddin Hairan berkata pengendalian proses penyembelihan binatang ternakan mesti menitikberatkan elemen keselamatan agar kes maut akibat ditendang ketika cuba mengikat kaki lembu di Kuala Krai pada 2017, dapat dielakkan.

Oleh itu, katanya pihak yang mengendalikan ibadah korban sama ada di surau, masjid atau di tempat-tempat lain perlu melakukan tindakan proaktif dengan melakukan penilaian risiko keselamatan dan kesihatan sebelum melakukan ibadah korban seperti mengenal pasti situasi dan perilaku berbahaya yang berpotensi mendatangkan kemalangan dan kecederaan.

“Ibadah korban binatang ternakan yang akan menggunakan peralatan tajam seperti pisau, parang, tali yang menambat binatang ternakan boleh menjadi satu alat yang boleh mencederakan peserta terlibat.

“Pisau dan parang yang tidak disimpan dalam sarung ketika dipegang mahupun diletak dalam keadaan statik adalah contoh perilaku berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan diri sendiri dan orang sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, Khairuddin berkata taklimat keselamatan sebelum memulakan ibadah korban perlu dilakukan agar semua yang terlibat sama ada sebagai penyembelih, pengendali binatang ternakan, pelapah dan orang ramai yang akan menyaksikan ibadah korban dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     

BN kekalkan kerusi Kimanis

 
     

Dr Mahathir mahu Bersatu Kedah kukuhkan parti - Mukhriz

 
     

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel