Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

650 aduan gangguan bekalan elektrik susulan ribut pulih -TNB


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memulihkan 650 aduan gangguan bekalan elektrik di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang susulan ribut tropika yang membadai utara Semenanjung malam semalam.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja membaik pulih sistem bekalan dilakukan secara berperingkat seawal 8.27 malam, terutamanya di kawasan yang melibatkan keselamatan orang awam.

"Kerja-kerja sedang dan masih giat dilakukan dalam memastikan semua 1,595 aduan itu mendapat bekalan elektrik," menurut kenyataan itu.

TNB menasihati orang ramai untuk mengambil langkah-langkah keselamatan elektrik dengan tidak menyentuh mana-mana wayar yang terjatuh atau tergantung bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian renjatan elektrik.

Semalam, hujan lebat disusuli angin kencang membadai utara Semenanjung melibatkan Kedah, Langkawi, Perlis dan Pulau Pinang sehingga mengakibatkan kejadian pokok tumbang, bekalan elektrik terputus, selain rumah, sekolah dan bangunan mengalami kerosakan.

Sementara itu di Alor Setar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah sehingga kini telah menerima 315 panggilan mengenai kejadian pokok tumbang di 10 daerah membabitkan 56 mukim di negeri ini akibat kejadian ribut malam tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Norhafifi Ismail berkata panggilan itu diterima menerusi sumber MERS 999 dari pengadu di daerah Langkawi, Kubang Pasu, Pendang, Padang Terap, Sik, Kuala Muda, Kota Setar, Yan, Kulim dan Pokok Sena dan ia merupakan rekod panggilan tertinggi.

“Antara kes yang direkodkan adalah kes pokok tumbang di kawasan jalan raya, kawasan awam dan kawasan penduduk. Kerja-kerja pengoperasian dan pembersihan sedang giat dijalankan oleh semua agensi terlibat termasuk bomba dan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Norhafifi berkata keadaan setakat ini terkawal manakala tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 11 rumah penduduk terjejas berikutan kejadian ribut itu direkodkan berlaku di daerah Kubang Pasu.

Norhafifi berkata kejadian ribut yang berlaku di negeri Utara Semenanjung disebabkan taufan Lekima yang melanda Timur Negara China.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said berkata, sebanyak  140 sekolah di Kedah terjejas apabila mengalami kerosakan antaranya pada bahagian bumbung dan siling bangunan sekolah itu akibat ribut malam tadi setakat 3.30 petang ini.

Katanya kesemua sekolah itu dari daerah Langkawi, Sik, Kuala Muda, Yan, Padang Terap, Kubang Pasu, Pendang, Baling, Kota Setar dan Kulim-Bandar Baharu.

“Pihak JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) akan memperbaiki segera kerosakan itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Bagaimanapun, Dr Salmee berkata sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terganggu  memandangkan mereka akan bercuti sempena Hari Raya Aidiladha hingga 17 Ogos nanti.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel