Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli sedia bantu SAR kesan Nora Anne mengikut kaedah tradisional


Tarikh kemaskini: 10/08/2019





NILAI, 10 Ogos (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.

Tok Batin Kampung Kolam Air Pantai, Ali Ngogor, berkata bagaimanapun sama ada usaha itu berjaya atau sebaliknya ia di luar kawalannya.

"Kita masih belum membuat upacara itu lagi namun kita cuba mengikut adat kita sendiri tetapi soal sama ada berjaya atau tidak bukan bidang kuasa kita dan ia kuasa tuhan... Kita cuma boleh berikhtiar. 

"Mengenai soal kaedah upacara yang dilakukan nanti saya tidak boleh jelaskan secara mendalam, ia adalah rahsia... mereka sendiri termasuk membantu dalam operasi pencarian bersama dengan anggota keselamatan yang lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak pernah terlihat atau terserempak dengan mangsa atau menjumpai sebarang petunjuk berkenaan kehilangan remaja itu di kawasan berkenaan.

"Saya sudah bertanya dengan anak buah lain namun mereka juga tidak menjumpai atau pernah melihat kelibat mangsa di kawasan ini.

"Siang malam pihak kami mencari remaja hilang itu bersama dengan orang lain namun setakat ini masih belum menjumpai sebarang petunjuk," katanya. 

Sementara itu, Tok Batin Kampung Ngoi Ngoi, Junus Jingin juga akan memberikan bantuan dalam mengesan remaja hilang itu mengikut ritual kepercayaan mereka.

"Saya turut bersimpati dengan keluarga mangsa sebab kita juga manusia apabila kehilangan seseorang sudah pasti ia memberi kesan kepada kita namun saya akan berusaha membantu mencari remaja hilang ini dengan kaedah saya sendiri," katanya. 

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Suhaimi Kassim meminta sekiranya komuniti Orang Asli menemui Nora Anne, diminta agar menyerahkan mangsa kepada pihak berkuasa.

"Sekiranya mereka terjumpa mangsa diminta secepatnya menghubungi atau menyerahkan kepada pihak berkuasa dan meminta mereka untuk turut sama mencari," katanya. 

Nora Anne yang menghadapi masalah pembelajaran, tiba di sini bersama keluarganya pada Sabtu untuk bercuti selama dua minggu sebelum keluarga menyedari kehilangannya dari biliknya di resort berkenaan pada pukul 8.00 pagi hari berikutnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel