Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YPU lahir 107 usahawan, jana jualan RM8.8 juta


Tarikh kemaskini: 09/08/2019





KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu berjaya melahirkan 107 usahawan baharu dengan hasil jualan sebanyak RM8.8 juta dalam tempoh setahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU Anuar Awang berkata kejayaan itu dicapai menerusi tiga program iaitu Program Usahawan Graduan Terengganu (PUGT), Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) dan Usahawan Graduan Terengganu (U-GATES).

"Daripada RM8.8 juta itu, hasil jualan tertinggi direkodkan oleh PUGT melibatkan 38 usahawan dengan nilai jualan tahunan sebanyak RM7.3 juta diikuti U-BES dengan penyertaan 39 usahawan (RM1.4 juta) serta U-GATES melibatkan 30 usahawan dengan jualan sebanyak RM198,835.

"Kesemua program ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pengangguran di Terengganu apabila memberi peluang pekerjaan kepada 213 orang penduduk melalui perniagaan yang diusahakan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Program PUGT dan U-GATES melibatkan penyertaan graduan universiti manakala peserta U-BES adalah belia berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Selain tiga program itu, kerajaan negeri melalui YPU turut memperkenalkan beberapa skim usahawan untuk mencapai matlamat peningkatan ekonomi termasuk Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), Tabung Siti Khadijah (TSK) dan Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS).

"Setakat Mei lepas, seramai 528 usahawan telah menerima peruntukan daripada TUGAS, 10 usahawan wanita menerima peruntukan TSK dan tiga usahawan daripada peruntukan SPINT.

"YPU turut memantau perkembangan usahawan ini melalui kursus latihan dan bimbingan perniagaan dari semasa ke semasa agar mereka terus maju dalam melebarkan empayar perniagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel