Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat cetus pelbagai reaksi


Tarikh kemaskini: 08/08/2019




KUALA TERENGGANU, 8 Ogos (Bernama) -- Langkah kerajaan Terengganu menguatkuasakan larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat berkuat kuasa serta-merta hari ini membangkitkan reaksi pelbagai pihak.

Sejak diuar-uarkan petang tadi, orang ramai dan netizen di media sosial Facebook melontarkan pelbagai komen, positif dan negatif, terutama dalam isu keselamatan pengguna jalan raya dan penjaja.

 Seorang pekerja swasta, Norizah Abd Jalil, 37, yang ditemui Bernama berkata beliau melihat tindakan kerajaan negeri itu sebagai satu langkah pencegahan yang baik sebelum terjadinya insiden tidak diingini seperti kemalangan.          

"Saya pernah berdepan pengalaman mendebarkan apabila seorang penjaja jeruk mangga tiba-tiba melintas di hadapan kereta ketika lampu bertukar hijau menyebabkan saya terpaksa berhentikan kenderaan dengan mengejut.

"Nasib baiklah waktu itu kereta saya dengan kereta di belakang jaraknya agak jauh, kalau tidak  kereta masuk bengkellah jawabnya," katanya.

Bagaimanapun, seorang usahawan jeruk mangga, yang popular dengan jenama ‘Pelam Asam Boi Kak Tie’, Helmi Haffizudin, 29, menyifatkan langkah tersebut sebagai ekstrem kerana tidak mengambil kira kepentingan peniaga dan penjaja.

Helmi berkata di sebalik larangan tersebut, kerajaan sepatutnya mengambil langkah alternatif lain seperti mewujudkan lesen khas dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk membantu usahawan jalanan menjana pendapatan mereka sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda di Terengganu.            

"Sepatutnya kerajaan negeri turut mengambil kira suara kami sebagai pihak yang terlibat dengan 'trend' menjual dengan kaedah menjaja ini bukan hanya berbincang sesama pihak atasan semata-mata.

"Tindakan sebegini bukan sahaja mencurah pasir ke dalam periuk nasi saya, malah 10 pekerja anak muda yang turut berkongsi rezeki dari perniagaan ini," katanya.

Seorang lagi peniaga, Fahmi Reza Razak yang menjual bebola daging sos lada hitam dengan jenama ‘Brehi Makang’ pula berkata beliau agak terkilan dengan keputusan itu kerana tidak diberikan notis lebih awal.

"Saya baru buat pembelian tambahan stok semalam dan terkejut apabila mendapat tahu mengenai larangan ini pada tengah hari tadi memang rasa terkejut dan sedih memikirkan nasib lapan pekerja yang sama-sama terlibat dalam perniagaan ini.

"Sebelum ini saya pernah memohon premis perniagaan milik kerajaan negeri di suatu tempat namun gagal, tetapi yang peliknya premis itu kekal kosong dan masih tidak dibuka sehingga sekarang," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel