Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada sebab untuk Perdana Menteri letak jawatan - Mohd Amar


Tarikh kemaskini: 08/08/2019




KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Tiada sebab untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata pelantikan jawatan Perdana Menteri akan habis mengikut penggal yang ditetapkan kecuali atas sebab-sebab tertentu termasuk pembubaran Parlimen atau berlaku undi tidak percaya. 

“Saya lihat tidak ada sebab untuk Perdana Menteri meletakkan jawatan dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) pun sudah bersetuju selepas dua tahun akan berlaku peralihan kuasa, malah Tun Mahathir sendiri pun sudah beritahu beliau akan tunaikan janjinya (untuk meletakkan jawatan apabila tiba masanya),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ceramah Eksekutif sempena program Jelajah Dakwah Dr Zakir Naik Ke Kelantan 2019 di  Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas kenyataan media Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mengenai kesemua 18 orang Ahli Parlimen Pas tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya kepada Dr Mahathir.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan terdapat gesaan pihak-pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan supaya menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.

Sehubungan itu, Mohd Amar berkata, PAS kekal dengan pendirian bahawa proses peralihan kuasa sepatutnya mengikut prosedur biasa iaitu melalui pilihan raya ataupun apabila ada perkara yang berbangkit. 

“Kenapa kena ada undi tidak setuju, baru setahun lebih...kenapa bersungguh sangat mendesak untuk beliau meletakkan jawatan, nampak sangat ada perebutan dalam kalangan pimpinan PH. 

“Isu ini jika dibesar-besarkan ia tidak baik untuk negara dan ia seolah-olah menunjukkan kepada masyarakat luar kerajaan dan politik sekarang tidak stabil dan ia boleh menghakis keyakinan pelabur-pelabur luar ke negara ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata Kerajaan Pas Kelantan menjemput Dr Zakir Naik ke negeri ini sebagai tanda solidariti kepada pendakwah antarabangsa itu yang berhadapan pelbagai tohmahan dan cabaran terutama daripada masyarakat di negara ini sendiri. 

“Ia menjadi satu tanggungjawab untuk membela nasib saudara sesama Islam apatah lagi yang sudah bergelar pemaustautin tetap,” katanya.

Mohd Amar berkata, isu antara Dr Zakir dan Kerajaan India yang mahu beliau pulang lebih bersifat isu agama, malah beliau juga yakin penceramah antarabangsa itu juga tiada rekod jenayah. 

“Kita lihat, ada isu politik dan asas agama di sebalik permohonan ekstradisi ke atasnya yang mungkin ada pihak tidak suka dengan sambutan meriah yang diberikan oleh masyarakat setiap kali ceramah daripadanya,” katanya. 

Terdahulu, kira-kira 1,000 penjawat awam negeri dan Persekutuan hadir ke program itu bagi mendengar ceramah Dr Zakir bertajuk “Salah Faham Tentang Islam” yang diikuti dengan sesi soal jawab.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel