Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kenderaan klon tarikan lelongan awam JPJ Pahang


Tarikh kemaskini: 08/08/2019




KUANTAN, 8 Ogos (Bernama) -- Kenderaan klon termasuk kenderaan mewah yang sudah dilesenkan semula menjadi tarikan pada sesi lelongan awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang yang berlangsung di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Pengarahnya Mohammad Abdullah berkata kenderaan klon itu terdiri daripada sebuah motosikal dan 17 kenderaan klon yang dilesenkan semula, serta dua kenderaan klon yang dikategorikan sebagai 'scrap' iaitu tidak boleh dilesenkan.

"Antara kenderaan klon terlibat ialah Toyota Wish, Honda Jazz, Mitsubishi Grandis dan Mercedes Benz 320i dan lelongan tertinggi bagi kenderaan kategori klon ialah RM27,000. 

"Jumlah keseluruhan yang diperoleh menerusi lelongan kenderaan klon ini ialah RM282,250," katanya kepada pemberita selepas tamat sesi Lelongan Awam 2019 JPJ Pahang di sini, hari ini. 

Mohammad berkata selain kenderaan klon, pihaknya juga melelong 15 lagi buah kenderaan yang disita JPJ melibatkan tujuh buah motosikal, kereta (empat) dan lori (empat). 

JPJ secara keseluruhannya memperoleh RM343,470 pada sesi lelongan itu, dengan nilai bidaan tertinggi ialah RM38,100 melibatkan sebuah lori manakala motosikal kategori 'scrap' menerima bidaan paling rendah iaitu RM50. 

"Jumlah jualan tahun ini mencatatkan peningkatan yang sangat banyak, kerana kita hanya memperoleh RM22,690 pada lelongan tahun lepas dan RM26,250 pada 2017, walaupun jumlah kenderaan terlibat adalah sama 35 buah.

"Tahun ini juga kita berjaya menarik kehadiran lebih ramai pembida iaitu 81 orang berbanding 35 orang sahaja pada 2018 dan proses lelongan selesai dalam tempoh empat jam sahaja," katanya. 

Mohammad memberitahu pihaknya kini sedang dalam proses melucutkan hak 406 kenderaan klon dan 548 kenderaan sita, yang juga berkemungkinan akan 'menyertai' proses lelongan JPJ pada masa akan datang. 

Pada perkembangan lain, Mohammad berkata JPJ negeri akan melaksanakan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) bagi nombor pendaftaran baharu negeri ini iaitu CEE. 

Katanya, proses bidaan bermula 12 tengah malam 30 Ogos hingga 11.59 malam 4 Sept ini dan keputusan dijadualkan dapat diterima sehari selepas tarikh tamat proses tersebut. 

Katanya, mereka yang berminat perlu mempunyai rekod di Sistem MySikap atau mendaftar di cawangan JPJ seluruh negeri dengan setiap bidaan dikenakan bayaran RM10.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel