2FrbrzGypok Melestarikan tradisi menjual bunga melur di Pasar Khadijah Kota Bharu
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melestarikan tradisi menjual bunga melur di Pasar Khadijah Kota Bharu


Tarikh kemaskini: 08/08/2019





Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Bunga melur mungkin tidak sepopular bunga mawar yang menjadi pilihan banyak pihak sebagai hiasan atau hadiah kepada orang yang tersayang kerana bau dan warnanya, namun bunga melur tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri dan bunga ini turut menjadi pilihan Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee untuk didendangkan.

“…tapi warnamu yang putih bunga melur, tandanya suci dan murni bunga melur, walaupun ditiup debu warnamu dan baumu tetap memikat kalbu..” itulah lirik dalam bait lagu Bunga Melor ciptaan P.Ramlee.

Mencari dan menuai bunga wangi terutama tumbuhan melur atau nama saintifiknya Jasminum sambac adalah kegiatan tradisional yang dilakukan sejak 50 tahun lalu di sekitar Kampung Tanjung Stan, Wakaf Stan di sini.

Bagi peminat bunga melur ini, mereka boleh mendapatkan bekalannya di Pasar Siti Khadijah di sini, yang dijual oleh Tengku Zawiah Raja Daud, 60, mewarisi pekerjaan ibunya,  Esah Kumat yang cukup terkenal di kampung tersebut suatu masa dahulu.

"Arwah ibu mewariskan kebun seluas kira-kira 0.9 hektar  yang ditanam dengan pokok bunga melur serta beberapa tanaman lain seperti cekur, serai, cili, limau nipis, kunyit dan lengkuas," katanya kepada Bernama.

Peniaga bunga di Pasar Siti Khadijah, Zainab Awang Kechil, 75, berkata pekerjaannya diwarisi daripada ibunya yang dikenali sebagai 'Mak Ngah' lebih 30 tahun lalu, kini memberi rezeki pula kepadanya dan keluarga.

“Pada pukul  7 pagi saya menunggang motosikal  ke kebun untuk mengutip bunga, kemudian bunga ini dihantar kepada tukang cucuk berdekatan Kampung Tanjung Stan pada jam 9 pagi.

  "Bunga melur ini dicucuk rapat menggunakan tali pelepah pisang yang membentuk untaian mengikut kehendak pelanggan termasuk daripada kalangan masyarakat Cina, India dan Siam untuk tujuan agama masing-masing manakala bagi orang Melayu bunga melur akan digabungkan dengan bunga wangi yang lain seperti cempaka, kesidang, kenanga dan mawar untuk tujuan rawatan.

Beliau berkata harga untaian bunga melur adalah mengikut musimnya, jika musim banyak bunga, 10 untaian berharga RM1, manakala pada musim kurang berbunga, dua hingga lima untaian untuk RM1.

Sementara itu, tukang menyucuk bunga melur, Zabidah Salleh, 56, yang 50 tahun bergelumang dengan pekerjaan itu berkata beliau belajar menyucuk bunga melur daripada arwah ibu yang digelar ‘Mak Ngah Bunga’ ketika berusia lapan tahun.

Zabidah berkata dalam sehari secara purata beliau boleh menyediakan lebih 200 cucuk untaian bunga melur mengikut jumlah bekalan bunga yang ada setiap hari.

Katanya, antara cara menyusun bunga ialah 12 kuntum bunga kuncup  disusun rapat bersama satu kuntum bunga kembang di bahagian akhir tali.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel