Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sanggup korbankan ‘Merah’ bernilai RM25,000 untuk Aidiladha


Tarikh kemaskini: 08/08/2019





BACHOK, 8 Ogos (Bernama) -- Seekor lembu sado seberat 1,300kg atau mesra dipanggil ‘Merah’ yang mencecah nilai RM25,000 sedia untuk dikorbankan sempena sambutan Aidiladha pada Ahad ini jika ada permintaan. 

Penternak lembu jantan baka Limousin berkenaan Ab Rahim Salleh, 74 berkata walaupun ternakan miliknya yang berusia tiga tahun setengah itu hanya dibela sebagai hobi namun beliau tidak akan menolak jika ada permintaan mereka yang mahu membelinya bagi menyempurnakan ibadah korban nanti mahupun kenduri atau majlis keraian . 

“Sambutan di negeri ini memang tidak banyak untuk lembu baka jenis ini mungkin disebabkan harganya yang agak mahal, tetapi ia menjadi pilihan kepada masyarakat luar negeri ini terutamanya di Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tawang, Bachok di sini hari ini. 

Ab Rahim yang telah menternak lembu sejak lebih 20 tahun lalu berkata, harga yang diletakkan dirasakan berpatutan, malah jika lembu baka ini dikorbankan pembeli akan berpuas hati kerana saiz lembu yang besar dan lebih ramai yang dapat menikmati dagingnya. 

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, kebiasaanya harga satu bahagian daging lembu tempatan yang dibuat korban hanya RM600 sehingga RM800, namun daging lembu mewah dari baka ini boleh mencecah sehingga RM3,000 untuk satu bahagian. 

“Iatidak mustahil untuk dijual, memandangkan saya telah berjaya menjual lembu baka jenis ini seberat 1,200 kg pada dua tahun lalu dengan harga RM17,500 kepada seorang peniaga daging lembu di Tok Uban, Pasir Mas,” katanya. 

“Daging daripada baka lembu ini menjadi pilihan kerana mempunyai rasa yang lebih lembut daripada daging lembu tempatan selain rasanya enak apabila dimasak. 

Mengenai kaedah penjagaan harian, Ab Rahim berkata dia akan memberikan kira-kira tiga kali sehari ‘Merah’ untuk makan rumput dan dedak khusus bagi baka lembu jenis ini iaitu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM350 sebulan. 

Katanya, ‘Merah’ juga sudah kerap dipamerkan dalam karnival perternakan di seluruh negeri ini malah ianya turut menerima anugerah Johan Limousin (Penjantan Unggul) dalam Pertandingan Lembu Comel Terbuka Negeri Kelantan 2018. 

“Bagi memastikan kesemua ternakan berada dalam keadaan baik dan sihat selain mengelakkan dijangkiti penyakit berjangkit, saya mendapatkan khidmat suntikan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar setiap enam bulan sekali,katanya. 

Selain mempunyai lembu baka Limousin, beliau turut menternak empat ekor lembu baka Charolais yang beratnya sekitar 400 kg sehingga 600 kg. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel