Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pekerja Lynas adakan Solat Hajat setiap minggu bermula 2018


Tarikh kemaskini: 08/08/2019





KUANTAN, 8 Ogos (Bernama) -- Pekerja kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas)  mengadakan solat hajat setiap minggu bermula tahun 2018 memohon supaya dipermudahkan urusan mereka. 

Perkara itu dikongsikan Pengurus Sumber Manusia Lynas, Jumaat Mansor yang berkata solat hajat yang diadakan setiap Khamis di kilang mereka di Gebeng di sini, juga memohon supaya operasi mereka yang patuh aspek keselamatan dan undang-undang itu dapat diteruskan. 

"Kami memilih untuk menganjurkan solat hajat di masjid negeri kerana hari ini, mengikut tarikh kalendar Islam ialah 6 Zulhijah 1440H dan banyak kelebihan yang ada pada 10 pertama bulan tersebut. 

"Sudah tentu, bulan ini juga adalah bulan kemuncak untuk Lynas yang bakal menentukan hala tuju seterusnya kerana keputusan berhubung operasi kami akan diketahui pada 15 Ogos," katanya. 

Jumaat berkata demikian pada taklimat ringkas beliau di hadapan ribuan umat Islam yang menghadiri Ceramah Perdana dan Solat Hajat anjuran Lynas di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, semalam. 

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Jumaat berkata topik ceramah pada majlis itu berkisar kepada fitnah dan bahayanya pada akhir zaman. 

Selain untuk kelangsungan operasi Lynas, solat hajat itu juga bagi mendoakan urusan pelajar yang akan menduduki pelbagai peperiksaan utama pendidikan negara ini, tidak lama lagi dipermudahkan. 

Pada taklimat itu, Jumaat berkata Lynas berdepan dengan ramai pihak yang membuat andaian tidak tepat berhubung operasi mereka, menuntut supaya kilang tersebut yang menjadi punca rezeki kepada hampir 1,000 individu, ditutup. 

Katanya, perkara itu bermula dari Lynas ditubuhkan di Malaysia pada tahun 2008 sehingga kilang itu mengeluarkan produk pertama pada hujung tahun 2012 dan berlarutan sehingga sekarang walaupun pihak mereka telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memberi penerangan yang tepat. 

"Bahan nadir bumi yang diproses di kilang kami adalah selamat dan digunakan dalam kehidupan seharian kita seperti di televisyen, radio, kereta dan telefon bimbit. 

"Kilang memperoses nadir bumi sebelum ini hanya ada di China. Kewujudan Lynas di Malaysia telah menjadi pesaing kepada negara itu dan mengubah pasaran iaitu China 80 peratus dan Malaysia 20 peratus.

"Mereka yang bercerita (tentang perkara tidak betul) tidak pernah datang melihat operasi Lynas dan kami terkilan juga kerana kebanyakannya adalah cerita dongeng," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel