Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Imigresen P.Pinang ada strategi kekang aktiviti tonto


Tarikh kemaskini: 08/08/2019





Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

BUKIT MERTAJAM, 8 Ogos (Bernama) -- Operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang sering menghadapi kesulitan apabila pergerakan penguat kuasanya sering dihidu kumpulan tonto yang diupah majikan atau peniaga yang menggajikan warga asing tanpa izin di negeri ini.

Tonto-tonto ini bukan sahaja mengekori malah memantau segala gerak-geri anggota penguat kuasa JIM Pulau Pinang dengan menyalurkan maklumat menggunakan walkie-talkie kepada individu tertentu yang berkepentingan.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata tindakan tonto itu tidak mematahkan semangat para penguat kuasanya untuk terus menjalankan operasi menahan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.

"Kami melakukan pelbagai strategi dan taktik bagi mengaburi tonto untuk mengekori penguat kuasa imigresen kerana boleh dikatakan setiap hari mereka akan menunggu di hadapan pejabat JIM di Seberang Jaya untuk menyalurkan maklumat kepada pihak-pihak berkenaan.

"Saya tidak boleh dedahkan taktik penguat kuasa kami tapi saya nak maklumkan kepada tonto-tonto berkenaan bahawa JIM Pulau Pinang tidak gentar malah lebih bersemangat lagi untuk menjalankan operasi dalam membanteras warga asing tanpa izin di negeri ini," katanya dalam temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.

Muhamad Husni berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, pihaknya menjalankan operasi sekurang-kurangnya empat serbuan untuk menahan warga asing yang melakukan kesalahan setiap hari atau 790 operasi berbanding 681 operasi bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata antara Januari dan Jun tahun ini, JIM Pulau Pinang menerima sebanyak 518 aduan berhubung kesalahan imigresen di negeri ini. 

Katanya sepanjang enam bulan pertama tahun ini, seramai 1,556 warga asing telah ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen berbanding 1,446 orang yang ditahan bagi tempoh yang sama tahun  lepas dan seramai 145 majikan turut dikenakan tindakan kerana menggaji warga asing tersebut.

Menurutnya jumlah warga asing yang ditahan bagi enam bulan pertama tahun ini meningkat berikutan operasi berterusan dan lebih intensif yang dijalankan jabatan itu.

"Daripada jumlah yang ditahan warga Bangladesh paling ramai iaitu 531 orang, Indonesia (346), Myanmar (331), Thailand (126), Vietnam (126) dan pelbagai negara lagi," katanya.

Muhamad Husni berkata seramai 1,024 warga asing ditahan kerana kesalahan tiada memiliki permit atau dokumen perjalanan diri, 383 orang lagi tinggal melebihi masa yang dibenarkan dan yang selebihnya melibatkan pelbagai kesalahan lain menurut Akta Imigresen.

Katanya selain faktor gaji tinggi dan peluang pekerjaan yang banyak di Pulau Pinang yang menjadi tarikan warga asing untuk bekerja di negeri ini, siasatan mendapati warga asing ini memilih negeri ini kerana keadaan persekitarannya yang aman damai.

"Kebanyakan warga asing ini memilih bekerja di Pulau Pinang berikutan keadaan negeri ini malah mereka juga mempunyai anggota keluarga atau kenalan yang lebih awal datang ke negeri ini untuk bekerja jadi warga asing berkenaan dapat menumpang bersama mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 2,034 warga asing dari pelbagai negara telah diusir bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini selepas selesai menjalani hukuman.

"Kami akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran warga asing bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang negara kita," katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel