Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemain akui usaha FAM, MFL bantu selesai tunggakan gaji


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Beberapa pemain yang dihimpit masalah tunggakan gaji sebelum ini mengakui usaha yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) musim 2018, Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi antara pemain yang berjaya memperolah semula bayaran gaji tertunggak daripada bekas majikannya, bersama 11 pemain lain pada 22 Feb lepas.

Hazwan, dalam kenyataan MFL hari ini berkata dengan pertolongan FAM melalui pemotongan hak penyiaran daripada PDRM, beliau dan rakan-rakan boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi memikirkan sebarang tunggakan bersama pasukan lamanya.

“Alhamdulillah hak saya telah berjaya dilunaskan melalui pertolongan FAM selain ada sebahagian baki turut dibayar oleh PDRM menerusi pengurusan  baharu yang lebih prihatin. Saya rasa cukup berpuas hati dengan apa yang saya dapat sekarang serta rakan-rakan yang lain," katanya.

Beliau berkata setiap pemain harus berhati-hati memilih pasukan serta perlu memahami peranan FAM serta MFL hanyalah membantu dan memperketatkan peraturan secara berperingkat yang wajib diikuti setiap pasukan.

“Bagi saya isu utama di sini adalah kedudukan kewangan pasukan yang kita wakili, jadi apabila isu tunggakan itu terjadi, sudah tentu menjadi tanggungjawab FAM dan MFL selesaikan masalah.

“Perkara ini kena dilihat secara lebih menyeluruh oleh semua pihak dan bukannya perlu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak kerana jalan penyelesaian sentiasa ada, ” katanya.

Sementara itu, berkongsi pandangan yang sama adalah bekas pemain Marcerra Kuantan FA, Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaluddin yang berdepan isu tunggakan gaji bersama pasukannya sebelum FAM tampil membantu.

Zairul yang kini beraksi bersama UiTM FC dan Daudsu selaku kapten Kelantan United mengakui FAM sentiasa mencari jalan membantu meringankan beban pemain selepas mereka mendapat sedikit bayaran daripada FAM dan optimis baki selebihnya akan dilunaskan pada masa hadapan.

“Betul, FAM ada tolong kami yang pernah beraksi dalam Marcerra tahun lepas dengan bantu bayar tunggakan gaji yang ditinggalkan pasukan itu. Walaupun secara berperingkat, tapi setidak-tidaknya ia meringankan beban kami," jelas Zairul.

Dalam pada itu, Daudsu berkata: “Apa yang penting ketika ini kita harap semua pihak sama-sama bantulah apa yang patut untuk selesaikan kemelut gaji yang masih ada kerana itu jadi keutamaan setiap pemain.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel