Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Syarikat Malaysia bakal membangunkan penginapan jemaah haji di Makkah


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Sebuah syarikat pembinaan Malaysia, Olie Scape Holdings Sdn Bhd (OSH) akan terlibat dalam projek pembinaan penginapan bagi jemaah haji dari Asia Tenggara di Makkah.

Pengerusi Kumpulan Olie Scape Datuk Shahoran Johan Ariffin berkata projek penginapan dalam bentuk perbandaran itu dijangka mampu menampung sehingga 300,000 jemaah.

"Projek ini masih dalam peringkat perbincangan, bagaimanapun pihak kerajaan Arab Saudi telahpun meluluskan perancangan pembinaan projek ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara OSH dan Al-Aaly Factory For Prefab Houses Co. Ltd. (AAFPH) di sini hari ini.

Shahoran berkata projek dalam bentuk rumah bertingkat yang terletak antara Madinah dan Makkah itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan perumahan termasuk taman.

"Ia juga akan dilengkapi dengan sistem kereta api laju kedua, jadi sesiapa yang menginap di situ boleh menunaikan solat Zuhur di Madinah dan solat Asar di Makkah," katanya.

Mengenai MoU tersebut, Shahoran berkata ia bagi projek pembinaan perumahan Al Kamel fasa pertama di Makkah yang membabitkan 7,000 unit rumah, daripada keseluruhan 30,000 unit di bawah projek perumahan itu.

Projek pembinaan baki 23,000 unit rumah akan ditawarkan kepada OSH selepas syarikat itu berjaya menyiapkannya dan melaksanakan pakej yang pertama.

"Nilai pelaburan untuk fasa pertama ini adalah kira-kira RM2.4 bilion dan keseluruhannya (30,000 unit) dijangka berjumlah RM12 bilion," katanya.

Di bawah perjanjian itu, Shahoran berkata AAFPH akan membekalkan komponen sistem bangunan berindustri (IBS) kepada OSH untuk projek tersebut.

Pada majlis menandatangani MoU itu, Sahoran mewakili Olie Scape, manakala AAFPH diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya Syeikh Fahad Alotaibi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel