Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes Nora Anne: polis rakam keterangan 20 saksi termasuk keluarga


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





NILAI, 7 Ogos (Bernama) -- Polis telah merakam sebanyak 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne Quoirin, 15,  kata Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman.

Beliau berkata walaupun siasatan kes remaja Ireland yang dilaporkan hilang Ahad lepas menjurus kepada orang hilang, namun polis tidak menolak sebarang kemungkinan lain dan siasatan yang dijalankan adalah secara menyeluruh.

”Pasukan forensik juga sudah mengambil beberapa kesan cap jari di bahagian tingkap ruang tamu termasuk di seluruh bangunan (chalet) berkenaan dan telah dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

“Sehingga kini, tiada petujuk baharu diperolehi dari pasukan mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata skala operasi yang digerakkan adalah besar dan diperluaskan dengan penambahan dua lagi zon pencarian menjadikan kesemuanya enam zon.

“Kekuatan anggota dalam operasi SAR juga telah ditingkatkan kepada 214 anggota hari ini berbanding 159 anggota semalam," katanya. 

Mengulas mengenai keluarga mangsa yang masih mempercayai bahawa mangsa diculik, beliau berkata respon sebegitu mungkin disebabkan emosi kehilangan anak perempuan berusia 15 tahun apatah lagi remaja berkenaan merupakan anak istimewa.

Dalam pada itu, seorang anggota SAR berkongsi pengalamannya dan memberitahu Bernama bahawa kawasan hutan yang bercuram dan gelap merupakan antara cabaran yang perlu ditempuh anggota penyelamat.

Katanya kawasan pencarian juga mempunyai banyak kawasan berbatu besar yang tajam dan licin yang memerlukan setiap anggota lebih berwaspada.

“Operasi hari keempat hari ini mulai ‘muram’ dengan cuaca mendung sejak pagi tadi dengan hujan rintik berbanding sebelum ini cuaca yang amat baik,” katanya.

Katanya kawasan pencarian yang berbukit bukau dan bercuram itu yang dipenuhi pokok-pokok besar setinggi bangunan tiga tingkat bukanlah satu kawasan yang mudah untuk operasi berkenaan walaupun kebanyakan daripada mereka memiliki pengalaman yang luas dan terlatih.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati lokasi resort yang terletak berdekatan Gunung Berembun dan di kelilingi dusun buah-buahan serta hutan telah menjadikan kawasan itu sebagai antara kawasan tarikan pelancong asing.

Berada di bukit dengan jarak perjalanan kira-kira 4 kilometer daripada Pekan Pantai, resort itu dilihat agak terpencil dan sunyi menjelang petang malah amat gelap pada waktu malam memandangkan tiada lampu jalan di sekitarnya selain perlu melalui jalan berliku yang sempit untuk ke resort berkenaan.

Tinjauan juga mendapati anggota keselamatan masih mengawal laluan menghala ke resort The Dusun, Pantai, yang menjadi tumpuan media sejak empat hari lepas. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel