Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Jimi' maskot SUKMA Johor 2020


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





KULAI, 7 Ogos (Bernama) -- Harimau dinamakan Jimi dipilih sebagai maskot Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 Johor 2020 yang akan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai depan.

Jimi dipilih sebagai maskot kerana menjadi simbol kepada Harimau Selatan, selain seekor harimau berani dan garang dengan turut menampilkan ciri kesultanan zaman berzaman yang menjadi identiti negeri Johor.

Sementara itu, logo SUKMA ke-20 Johor 2020 pula bercirikan tulisan jawi melalui huruf ‘Jim’ yang mewakili negeri Johor yang turut digabungkan menjadi obor temasya, sekali gus menjadi kebanggaan Bangsa Johor yang masih memartabatkan tulisan Jawi.

Gambir dan lada hitam yang merupakan khazanah alam negeri ini turut diangkat sebagai sebahagian daripada obor temasya manakala slogan ‘Semarak Juara’ yang dipilih diletakkan dalam logo pula merupakan laungan bagi menyahut cabaran memperkasakan semangat kesukanan dan kegemilangan sukan.

Majlis pelancaran maskot dan logo tersebut disempurnakan Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal di sebuah hotel di Senai dekat Kulai, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Sheikh Umar Ali.

Dalam ucapannya, Sahruddin berkata logo yang dicipta itu hasil daripada pertandingan yang dilaksanakan tahun lepas, namun, penambahbaikan dari segi imej dan pengisiannya dibuat bagi memudahkan logo itu dikomersialkan sejajar dengan imej sukan.

“Semestinya elemen Johor seperti motif gambir dan lada hitam dan pembudayaan Jawi diterapkan dalam logo temasya yang amat dibanggakan ini. Negeri Johor dan harimau berpisah tiada. Maskot temasya sukan ini menampilkan harimau yang tampak comel dan mesra.

“Namun, sebagaimana sifat seekor harimau, ia agresif, garang dan akan mengaum dengan semangat ‘Semarak Juara’ bersukan,” katanya.

Menurut Sahruddin, Johor yang terkenal dengan adab dan budayanya yang tinggi bertekad untuk dinobatkan sebagai penganjur terbaik bagi temasya berkenaan yang akan berlangsung di tiga venue melibatkan Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi.

Mengambil pendekatan ‘good sportsmanship’, pengendalian acara sukan yang baik dan telus adalah misi kerajaan Johor sebagai penganjur Sukma terbaik dalam kalangan penganjuran temasya sukan itu sebelum ini, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel