Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kibar Jalur Gemilang, pamer semangat nasionalisme, patriotik - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





ALOR SETAR, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri menyeru seluruh rakyat Kedah supaya menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-62 negara dengan penuh semangat nasionalisme dan jiwa patriotik yang berkobar-kobar dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ia juga dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan bangga dalam jiwa ‘Anak-anak Malaysia’ terutamanya dalam kalangan rakyat negeri sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019.

“Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dilancarkan hari ini merupakan simbolik yang dizahirkan kerajaan negeri bagi semua rakyat Kedah untuk bersama menyambut bulan kemerdekaan dan bukan hanya diadakan di peringkat negeri malah diperluaskan di setiap daerah.

“Bagi menjayakan kempen ini, penglibatan semua pihak termasuk dalam kalangan pelajar sekolah, syarikat dan orang perseorangan perlu diteruskan sehingga 31 Ogos dengan cara dan kreativiti masing-masing,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan negeri Mohd Firdaus Ahmad.

Sementara itu, Mukhriz berkata menginjak usia 62 tahun kemerdekaan, pelbagai perubahan dan pembangunan telah dikecapi negara yang meletakkan negara setanding dengan negara-negara membangun yang lain.

“Kita juga perlu menanam iltizam dan memastikan semangat patriotisme serta kesefahaman yang telah terjalin hasil dari keharmonian semua kaum yang terdapat dalam negara ini terus kekal terpelihara.

“Kita tidak mahu nikmat merdeka yang telah dikecapi akan terkubur jika tidak bersungguh-sungguh untuk memeliharanya. Semangat patriotisma dan cintakan negara seharusnya berterusan dalam setiap langkah dan pekerjaan kita,” katanya.

Pada majlis itu, Mukhriz turut menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada pasukan ekspedisi mendaki Gunung Annapura, Nepal yang melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah.

“Ekspedisi itu akan bermula 24 Ogos hingga 6 September, jadi saya ingin ucapkan syabas dan tahniah atas usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta demi merealisasikan semangat kecintaan kepada negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel