Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program ‘Till Jannah: Smart Marriage’ bantu perbaiki hubungan suami isteri


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





KUCHING, 7 Ogos (Bernama) -- “Syukur alhamdulilah perkahwinan yang dibina selama 24 tahun masih berkekalan sehingga kini walaupun pelbagai badai melanda kami suami isteri,” kata Junainah Mohamad, 42, peserta program ‘Till Jannah, Smart Marriage’ anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS).

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, perubahan positif semakin ketara malah hubungan antara suami semakin akrab setelah tiga kali berturut-turut  menyertai program yang telah dianjurkan oleh JKWS itu sejak 2017.

“Lebih 20 tahun saya dan suami mengalami masalah rumah tangga, sering bergaduh, malah perkara yang remeh menjadi pergaduhan.

“Semenjak menyertai program ini, suami saya semakin berubah menjadi seorang yang penyabar dan tidak panas baran, ternyata tidak sia-sia usaha kami menyertainya. Pelbagai ilmu berguna dapat diterapkan dalam menjaga perhubungan bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Program ‘Till Jannah, Smart Marriage’ di sini, hari ini.

Junainah berkata, ilmu yang paling penting dalam program  itu adalah ilmu berkomunikasi antara pasangan, psikologi diri dan pengurusan emosi.

“Tidak dinafikan pengurusan emosi ini penting kerana dulu saya dan suami masing-masing ego dan sering menaikkan suara setiap kali berlaku pertengkaran. Kini, kami lebih memahami antara satu sama lain, dapat mengawal emosi masing-masing.

“Kini, masing-masing boleh mengawal emosi dan semakin stabil,  amat jarang sekali bergaduh, rumah tangga semakin harmoni dan kewangan kami sekeluarga, alhamdulillah, semakin stabil hasil pengurusan kewangan bersama walaupun suami saya bekerja sendiri,” ujarnya dengan penuh kegembiraan.

Sementara itu, Pengarah JWKS Noriah Ahmad berkata, institusi keluarga merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat yang cemerlang sekali gus menyumbang kepada kemajuan negara.

“Sejak program ‘Smart Marriage’ ini diadakan, sebanyak 98 peratus pasangan yang menghadirinya bersetuju program ini amat membantu mereka dalam memperbaiki perkahwinan. JWKS akan terus menganjurkan program ini untuk kesejahteraan masyarakat sekali gus membantu mereka yang telah berkeluarga dan yang akan berkahwin,” katanya.

Antara input yang diterapkan dalam program dua hari itu adalah memahami empat deria pemprosesan maklumat, menghargai diri, pengurusan konflik dan perkongsian berumah tangga dari ustaz.

Seramai 140 peserta yang terdiri daripada pasangan Muslim dan bukan Muslim serta individu bujang menyertai program itu.

--  BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel