Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JAS Johor siasat pembakaran terbuka di Kempas


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





JOHOR BAHRU, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah melakukan siasatan berhubung kejadian pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Banjaran 15, Bukit Kempas di sini, yang menyebabkan pencemaran asap di kawasan sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor juga sudah mengeluarkan notis 7A mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara kepada pemilik tanah yang terlibat supaya memulihkan keadaan tanah sebagaimana syarat nyata tanah.

"Kerajaan Negeri Johor sentiasa memandang serius terhadap alam sekitar terutama di Bukit Kempas yang didapati terdapat masalah pembakaran api bawah tanah yang berterusan di tapak pelupusan sampah haram serta pembakaran terbuka di tempat itu.

“Justeru itu, menerusi mesyuarat khas bersama agensi dan jabatan kerajaan, operasi pemadaman akan dilakukan berterusan selama seminggu selain dipantau oleh agensi terlibat yang antaranya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Syarikat Air Johor (SAJ) dan SWCorp. ” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

"MBJB bersetuju “long-arm excavator” akan disewa untuk mengorek timbunan sampah yang terbakar dan membanjirkan dengan air melalui hos pihak bomba. Pihak bomba pula akan menyediakan jentera 24 jam dan SAJ akan membekalkan air untuk disalurkan ke jentera bomba," katanya.

Penutupan laluan masuk ke dalam kawasan tapak berkenaan juga akan dilakukan dengan menggunakan penghadang konkrit supaya kejadian seumpama tidak berulang.

Tan turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang tegas boleh diambil kepada pemilik tanah yang melakukan pembakaran terbuka iaitu pengambilan semula tanah dengan cara pelucutan hak di bawah  Seksyen 129 Kanun Tanah Negara kerana pelanggaran syarat tanah, dan denda RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata isu pembakaran terbuka itu turut menjejaskan Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Kempas yang berjarak hanya satu kilometer dari lokasi tapak pelupusan haram itu.

Beliau, yang melawat sekolah dengan 353 murid itu hari ini, turut menyampaikan sumbangan 1,000 penutup mulut dan hidung kepada pihak sekolah.

"Pihak sekolah memaklumkan pencemaran asap ini agak kritikal pada Ahad lepas, namun, tiada laporan sesak nafas melibatkan pelajar dan kakitangan sekolah, tetapi pencemaran ini menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel