Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan N. Sembilan sedia beri bantuan kepada keluarga Nora Anne - Exco


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





SEREMBAN, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri bersedia memberi segala bentuk bantuan kepada keluarga Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland yang hilang di resort The Dusun, Nilai sejak Ahad lepas.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong yang menzahirkan rasa simpati kerajaan negeri terhadap keluarga remaja itu berkata bantuan berkenaan akan diberi mengikut kemampuan kerajaan. 

"Kerajaan negeri bersimpati kepada keluarga mangsa dengan apa yang berlaku dan bersedia menghulurkan sebarang bantuan kepada mereka mengikut kemampuan kami. Keluarga mangsa boleh menghubungi kerajaan negeri untuk  meminta apa bentuk bantuan yang mereka perlu dan kami akan cuba memenuhinya.

"Pada masa sama, kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan berterusan sejak hari pertama remaja itu dilapor hilang dan kami harap dia dijumpai dengan selamat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Teo berkata kes yang berlaku di resort itu adalah kes terpencil.

Ditanya pemberita status resort itu yang kini dalam proses pemutihan ekoran beroperasi tanpa lesen yang sah tetapi dibenarkan beroperasi, Teo berkata kerajaan negeri memberi tempoh sehingga Oktober kepada semua pengusaha resort tanpa lesen di kawasan itu untuk mengemukakan permohonan kelulusan lesen beroperasi kepada Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

"Saya difahamkan semua pengusaha resort di Pantai Hills Resort (PHR) itu adalah pengusaha yang sudah lama beroperasi di situ dan mereka sangat berpengalaman. Kebanyakan pelancong asing memang suka tinggal di situ kerana pemandangannya yang indah, suasana alam sekitar yang nyaman dan selamat.

"Kita perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini. Ini adalah satu pengajaran kepada pemilik resort supaya mereka meningkatkan aspek keselamatan dengan menambah CCTV (kamera litar tertutup)… ini adalah tanggungjawab pemilik resort,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, hanya 30 peratus pengusaha resort di PHR termasuk The Dusun dalam proses mengemukakan permohonan mereka.

Pada 14 Jun, media melaporkan 11 pemilik resort di PHR diberi tempoh empat bulan untuk mengemukakan permohonan kelulusan lesen beroperasi kepada MPN.

PHR yang memiliki kawasan seluas 36.98 hektar, mempunyai 44 orang pemilik tanah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel