Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia bakal pemain utama dalam industri permainan digital dalam tempoh lima tahun


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Malaysia bakal muncul sebagai pemain utama dalam industri permainan digital dalam tempoh lima tahun akan datang memandangkan negara mempunyai kumpulan orang yang tahu selok-belok industri itu dengan baik dan juga kumpulan bakat yang diperlukan.

Naib Presiden Bahagian Kandungan Kreatif dan Teknologi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Hasnul Hadi Samsudin berkata pemaju permainan digital Malaysia telah mencapai banyak hasil yang cemerlang dalam industri itu termasuk eksport yang mencecah RM687 juta pada 2018.

Pemaju permainan digital tempatan seperti Metronomik dan Magnes Games adalah antara 50 pemain tempatan yang menjadi penyumbang besar kepada industri permainan digital yang berkembang pesat.

"Penduduk di rantau ini percaya Malaysia melakukan yang terbaik untuk pembangunan industri permainan digital. Selain itu, pemaju permainan video dari Jepun seperti Bandai dan Namco Studio, pereka permainan video Pacman, Tekken, Naruto, dan Dragon Ball, membuka studio mereka di Malaysia kerana menyedari dan mengiktiraf bakat rakyat Malaysia dalam permainan video digital adalah pelbagai.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita tahu kandungan Barat dan Jepun dengan sangat baik. Jadi syarikat Jepun juga ingin melihat bagaimana mereka boleh menjadi lebih relevan kepada pasaran Barat. Oleh itu, mereka menggunakan bakat kita dalam mencipta kandungan yang lebih relevan di peringkat global," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Hasnul Hadi berkata dalam membangunkan lagi industri permainan digital, MDEC juga mengambil inisiatif dalam mewujudkan kesedaran dan mempromosikan industri itu kepada pelajar di sekolah menengah dan universiti.

"Orang mungkin berfikir bahawa membangunkan permainan digital memang mudah tetapi realitinya ialah ada perkara yang perlu dilakukan seperti pengkodan, animasi dan banyak perkara dalam permainan digital," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta juga penting dalam industri animasi kerana lebih 20 syarikat Harta Intelek tempatan (IP) mencatatkan eksport bernilai RM132 juta pada 2018.

Antara IP tempatan yang berjaya ialah Giggle Garage, Les Copague, Animasia, Wau Animation, Vision Animation, Mirayi, Brain Metal, Mcube, Hud-hud Media, Lil Critter, Glue Studio, Silver-ant dan Digital Durian.

Hasnul Hadi berkata filem animasi tempatan, BoBoiBoy Movie 2 telah mencipta sejarah dalam industri filem tempatan apabila filem animasi itu akan ditayangkan serentak di lima negara iaitu Malaysia, Vietnam, Brunei, Indonesia dan Singapura pada Khamis (8 Ogos).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel