Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Elak pembakaran terbuka sepanjang jerebu - Exco


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Rakyat Melaka diingatkan supaya mengelak melakukan pembakaran terbuka dalam keadaan kualiti udara yang tidak sihat akibat jerebu ekoran kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia, awal bulan ini. 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata, mereka juga perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan jerebu dan mengurangkan aktiviti luar yang boleh meningkatkan risiko penyakit.

"Seperti kita sedia maklum Melaka antara negeri bakal terjejas atau dilanda jerebu kesan pembakaran  hutan di Indonesia ekoran lokasi kedudukannya yang berdekatan dengan negeri ini.

"Walaupun setakat ini bacaan Indeks Pencemaran Udara di negeri ini mencatatkan tahap sederhana iaitu kira-kira 72, langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diambil oleh semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan '2019 Theory and Technique International Aerosol Conference and Malaysia Air Quality Annual Symposium’ di sini, hari ini.

Menurut beliau, pembakaran terbuka adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun, justeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu melakukan pembakaran diminta melaporkan segera ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol 1-800-88-2727. 

Media sebelum ini melaporkan negara dilanda jerebu bermula 1 Ogos disebabkan kebakaran hutan di negara terbabit, kebakaran itu dilaporkan berlaku di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Dalam perkembangan lain, Tey yang juga Pengerusi DAP Melaka berkata, semua pihak perlu bertenang dan tidak mempolitikkan isu pelaksanaan tulisan Jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular.

"Tiada halangan untuk melaksanakannya yang penting tidak membebankan. Kita perlu berhati-hati dalam isu ini kerana ia tidak harus dijadikan bahan untuk memecahbelahkan rakyat. Apa pun perbezaan pendapat, perpaduan rakyat di negara ini mestilah menjadi keutamaan," katanya. 

Tegasnya pendirian DAP terhadap isu itu akan disampaikan kepada kabinet dalam masa terdekat dan beliau yakin dapat menyelesaikannya dengan baik.

Beliau mengulas pengumuman oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini mengenai penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel