16HNH0z7_YY 20 lelaki Nigeria mengaku tidak bersalah serang polis
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

20 lelaki Nigeria mengaku tidak bersalah serang polis


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





PETALING JAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Seramai 20 lelaki warga Nigeria dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan termasuk menyerang pegawai dan anggota polis ketika serbuan di Pangsapuri Flora Damansara di sini, bulan lalu.

Kesemua tertuduh yang dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat pihak polis mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mereka ialah Onorwu Chimuanyi Vincent, Augustine Ekene Okora, Onyeikpe Uzoma Onyekachi, Ndubuisi Osuagwu, Uchenna Stanley Ayozie, Chibuzo Kingsley Orji, Onyiyedi George Oboduagy, Eberredu Daniel Chima, Okeke Charses, Obilor Macdennis Chinemerem, Osuji Chimobi, Chinedu Aligwe, Kabuye Christian, Nwokenna Tochukwu Nwabueze, Chibuzo Goodluck, Okeke Chinedu Darling Ton, Charlse Uche Anyanwy, Ususledrock Onyedikachi, Mathew Kelechi Cletus dan Anoka, berusia antara  22 hingga 38 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, 10 tertuduh iaitu Onorwu, Augustine, Onyeikpe, Ndubuisi, Uchenna, Chibuzo, Onyiyedi, Eberredu, Okeke dan Obilor didakwa mengganggu ketenteraman awam dengan melakukan rusuhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Insp. S. Logenthiran dan tiga anggota polis, Kpl Mohd Farid Zakaria, Lans Kpl Idris Ismail dan Lans Kpl Mohamad Shah Rizal Abu Hanifah semasa mereka sedang bertugas mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, mereka didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan empat polis sama mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Blok F, Pangsapuri Flora Damansara, di sini, pada 11.12 malam, 25 Julai lalu.

Enam daripada mereka turut dituduh  tinggal lebih masa di negara ini mengikut Seksyen 15 (4) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya manakala 14 lagi didakwa tinggal di Malaysia tanpa sebarang permit sah mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara yang boleh sampai lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kesemua tertuduh diwakili peguam M. Tharuma Ratnam, Dinesh Ramachandran dan Siti Rohaya Mohd Tajudin.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Sept untuk sebutan semula kes.

Pada 27 Julai lalu, Bernama melaporkan kesemua anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu diserang ketika cuba menahan seorang lelaki Nigeria yang disyaki terlibat dalam kes penipuan ‘Afican scam’ menyebabkan seorang anggota polis cedera di muka. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel