Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM lancar operasi cari jurutera kapal tunda hilang


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




JOHOR BAHRU, 7 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap seorang jurutera kapal tunda yang dilapor hilang ketika dalam pelayaran dari Kuala Linggi, Melaka menuju ke Singapura, dua hari lepas.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata pihaknya menerusi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi bagi mencari Sugianto, 47, yang dilaporkan hilang di kawasan Perairan Pulau Kukup hingga selatan Tanjung Piai.

Beliau berkata SAR diaktifkan pada 2.30 petang, dua hari lepas, sejurus menerima laporan kehilangan daripada Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Singapura.

"Sugianto yang bekerja sebagai jurutera kapal tunda TB Commerson Dolphin disedari hilang oleh Ketua Jurutera Kapal tersebut kira-kira 6 pagi, dua hari lepas, di lokasi lebih kurang 3 batu nautika selatan Tanjung Piai.

"Sejurus menyedari kehilangan Sugianto, kapal tunda tersebut berusaha mencarinya, namun, gagal dan seterusnya melaporkan kehilangan setiba di Singapura," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Sugianto dilaporkan dilihat pada kali terakhir kira-kira 2 pagi, hari sama, di lokasi lebih kurang 2 batu nautika barat daya Pulau Kukup.

Katanya, pencarian Sugianto yang memasuki hari ketiga kini meliputi keluasan 30 batu nautika persegi dengan kekuatan tiga aset bot dari APMM dan polis.

"Kita juga turut menyalurkan maklumat kepada Badan SAR Nasional Indonesia (Basarnas) agar pencarian sekitar perairan negara jiran juga dilaksanakan," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan khususnya kejadian di sekitar perairan negeri Johor.

"APMM menyeru komuniti maritim untuk sentiasa mengutamakan keselamatan di laut dan sentiasa cakna dengan keadaan cuaca bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel