Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPHTJ edar 14,000 Jalur Gemilang


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




MELAKA, 7 Ogos (Bernama) -- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengambil langkah agresif dengan memasang dan mengedarkan kira-kira 14,000 Jalur Gemilang dalam usaha menggalakkan penduduk mengibar bendera serta menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2019 di negeri ini.

Yang Dipertua MPHTJ, Mohd Rafee Ibrahim berkata usaha itu digerakkan secara berperingkat sejak 25 Julai lepas dan setakat ini 2,500 bendera pelbagai saiz sudah dipasang meliputi laluan dan lebuh raya utama serta bangunan kerajaan dalam kawasan pentadbiran Hang Tuah Jaya.

Pihak majlis juga akan memasang Jalur Gemilang di setiap kawasan tumpuan utama pelancong yang datang bercuti ke Melaka dengan sasaran 6,000 bendera dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.

"Kita juga akan mengedarkan 5,000 Jalur Gemilang secara percuma kepada pemilik kenderaan dan bagi memastikan seluruh warga Hang Tuah Jaya menyertai kempen ini, MPHTJ bersama Jabatan Pelesenan dan Perkhidmatan Bandar serta Jabatan Penguatkuasaan telah mengeluarkan lebih 5,000 notis pemberitahuan.

"Notis ini diberikan kepada semua pemilik premis termasuk hotel, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun), balai raya serta wakil di peringkat komuniti," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Malis Pelancaran Kempen Jalur Gemilang 2019 peringkat MPHTJ, di sini, hari ini.

Mohd Rafee berkata kempen mengibarkan Jalur Gemilang itu juga menunjukkan bukti sebagai rakyat Malaysia yang peduli dan mengambil berat dengan nilai kemerdekaan yang diwarisi generasi terdahulu sejajar dengan tema sambutan tahun ini 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' 

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 tahun ini, MPTHJ juga telah mengatur pelbagai program serta aktiviti berbentuk patriotik dan kenegaraan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.

"Rasa cinta kepada tanahair ini perlu ditanam dalam setiap rakyat Malaysia supaya kita dapat menghayati semangat jiwa merdeka dengan menyayangi negara ini sepenuh hati serta terus hidup dalam suasana harmoni walaupun berbeza agama dan budaya," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel