Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bomba yakin remaja Ireland masih hidup


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





NILAI, 7 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yakin gadis warganegara Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di resort The Dusun, Pantai di sini sejak Ahad lepas masih hidup.

Ketua Balai JBPM Seremban Mohamad Idris berkata hal ini kerana kawasan resort berkenaan berdekatan dengan sumber air seperti sungai dan jeram.

"Logiknya, walaupun empat hari hilang tapi jika ada sungai, peluang hidup itu masih ada kerana terdapat sumber air meskipun tiada makanan,

"Sebab itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini tertumpu di kawasan sepanjang sungai ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata seramai 40 anggota dan pegawai JBPM Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerahkan dalam operasi SAR yang memasuki hari keempat, hari ini.

"Seramai 10 anggota PPDA memulakan operasi menyelam di sungai ini khususnya di kawasan jeram dan dasar sungai yang dalam.

"Pasukan bomba dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut sektor pencarian termasuk dalam kawasan hutan," katanya.

Dalam kejadian pada Ahad, gadis Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu, sebelum Nora Anne dilaporkan hilang.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di resort berkenaan oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

Sementara itu, lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa berkampung di jalan masuk ke resort itu sejak awal pagi tadi. Media bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan resort itu dengan pintu masuk dikawal ketat oleh anggota keselamatan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel