Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP Johor rampas 147 bengkung tiruan bernilai lebih RM17,000


Tarikh kemaskini: 07/08/2019




JOHOR BAHRU, 7 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas 147 bengkung jenama terkenal tiruan dianggarkan bernilai RM17,455.70 menerusi operasi di tujuh premis di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Zubir Hamsa berkata operasi di premis di sekitar Pandan dan Bandar Baru Uda itu dilakukan mulai 7 malam membabitkan 26 anggota penguat kuasa.

Beliau berkata operasi yang berakhir kira-kira 1 pagi itu turut disertai lapan individu daripada syarikat pengasas produk berkenaan.

Katanya, serbuan itu merupakan hasil risikan selama dua minggu selepas pihaknya menerima aduan daripada pemilik cap dagang produk daripada jenama Let’s Cantik milik pengasas produk kecantikan terkenal, Nur Sajat.

"Semasa pemeriksaan, kita mendapati premis-premis yang diserbu ini ada menjual barangan menggunakan jenama produk tersebut," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Zubir berkata pihaknya turut merekodkan keterangan ketujuh-tujuh pemilik premis berkenaan semasa operasi dilakukan.

Tambahnya, bengkung tiruan yang mempunyai empat perbezaan berbanding produk asli itu, kini disita mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 untuk siasatan lanjut.

"Kita akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis yang disyaki menawarkan atau membekalkan barangan tiruan dalam usaha melindungi hak pengguna dan harta intelek milik industri.

“Peniaga juga dinasihati mematuhi undang-undang dan peraturan serta tidak terlibat dalam aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan selain pengguna dinasihatkan berhati-hati dalam membuat pembelian dengan memastikan barangan dibeli adalah tulen,” katanya.

Orang awam juga dinasihati supaya menyalurkan sebarang aduan kepada KPDNHEP melalui talian bebas tol di 1-800-886-800, 03-8000800, sistem e-aduan di laman web rasmi, aplikasi WhatsApp di 019-279 4317 atau hadir ke mana-mana cawangan KPDNHEP di seluruh negeri.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel