Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasukan hoki negara tumpas 6-4 kepada Belanda


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Selepas memenangi Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol, Ahad, pasukan hoki lelaki negara mempamerkan persembahan cukup baik hari ini, namun tewas 6-4 kepada pasukan Belanda dalam perlawanan ujian di Breda, malam ini.

Pasukan nombor tiga dunia, Belanda, memulakan pesta gol mereka seawal minit kedua menerusi Mirco Pruijser, namun pasukan nombor 12 dunia, Malaysia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-11.

Pasukan Belanda kemudiannya mendahului sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti di minit ke-13 dan kemudiannya Marco menambah jaringan (minit ke-20), dan pasukan Malaysia mengurangkan defisit gol menerusi jaringan Faiz Helmi di minit ke-29.

Di separuh masa kedua, pasukan yang memenangi pingat perak pada Piala Dunia 2018 itu menambah jaringan menerusi Jip (38’), Jelle Galema (49’) dan Thierry Brinkman (51’), manakala pasukan pemenang pingat perak Sukan Asia, Malaysia, menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim (43’) dan Faizal Saari (56’).

Mengulas perlawanan itu, Ketua Jurulatih Roelant Oltmans berkata keputusan itu merupakan satu langkah kehadapan kearah pembangunan hoki para pemainnya.

“Mereka menunjukkan serangan yang baik dan memiliki peluang untuk membuat lebih banyak jaringan, tapi sebaliknya pasukan negara dihukum untuk setiap kesilapan yang dilakukan.

“Namun ia persembahan yang baik, menunjukkan pasukan negara semakin bertambah kompetetif berhadapan dengan pasukan terbaik dunia. Kita masih perlu buat kajian semula persembahan, dan mencari pendekatan terbaik untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

Pasukan negara akan meneruskan siri perlawanan ujian menentang juara dunia tiga kali, Belanda pada hari Khamis, diikuti dengan perlawanan menentang pasukan nombor dua dunia Belgium pada 10 dan 12 Ogos.

Malaysia, yang sedang membuat persiapan untuk peringkat akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan pada Oktober dan November ini memulakan siri jelajah dengan menewaskan juara dunia dua kali dan pasukan ketujuh dunia Jerman 4-2 di Krefeld pada 26 Julai, diikuti dengan kekalahan tipis 0-1 kepada pasukan nombor satu dunia Sepanyol.

Malaysia kemudiannya muncul juara di Kejohanan Empat Negara selepas menewaskan Sepanyol 4-3 pada 1 Ogos, menumpaskan Ireland 2-1, Jumaat, dan seri dengan England 3-3 Ahad.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel