Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Unifi TM terus komited tangani cabaran rangkaian tembaga


Tarikh kemaskini: 07/08/2019





KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Telekom Malaysia Bhd (TM), melalui jenama penumpuannya, unifi, terus komited untuk menangani cabaran rangkaian tembaga melalui pelbagai teknologi untuk membantu merealisasikan aspirasi Negara Digital Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata syarikat akan menggunakan teknologi seperti fiber, tanpa wayar dan Giga Wire, yang mana diperlukan, untuk menangani cabaran tersebut.

“Unifi terus komited untuk menangani cabaran rangkaian tembaga melalui pelbagai teknologi seperti fiber, tanpa wayar dan Giga Wire dalam pelaksanaan rangkaian yang akan melibatkan peralihan pelanggan secara berperingkat mulai hari ini hingga 2021.

“Oleh itu, dijangka sebanyak 70 peratus daripada pelanggan Streamyx kami akan dapat menikmati perkhidmatan unifi menjelang akhir 2020,” katanya pada pelancaran unifi Air, unifi Lite dan myunifi app di sini hari ini.

Noor Kamarul berkata TM, melalui unifi, program menaik taraf Internetnya telah selesai pada April 2019 dengan 973,000 pelanggan unifi telah dinaik taraf kepada 10 kali daripada kelajuan sedia ada.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 266,000 pelanggan Streamyx dalam kawasan liputan unifi telah dinaik taraf kepada unifi dan 226,000 pelanggan Streamyx dalam kawasan liputan bukan unifi telah dinaik taraf kepada dua kali daripada kelajuan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata minggu lepas, TM telah mengemukakan pelan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati akses dan jaringan yang lebih baik.

“Kami akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memenuhi Pelan Sambungan dan Fiber Negara bagi membolehkan lebih ramai penduduk dari kawasan luar bandar dan sub-bandar menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik,” katanya.

Dirangka khusus untuk pengguna Streamyx sedia ada TM yang berada dalam kawasan liputan evolusi jangka panjang (LTE), unifi Air, berharga RM79 sebulan, dijana oleh modem tanpa wayar yang cepat dan mudah disambungkan kepada sehingga 64 peranti dengan purata kelajuan 20Mbps.

Bagi pelanggan Streamyx sedia ada yang berada di luar kawasan liputan fiber dan LTE serta pelanggan Lite unifi sedia ada, mereka akan dapat menikmati pelan Lite unifi baharu pada harga diskaun RM69 sebulan dari bil September 2019 mereka dan seterusnya. 

“Mulai 1 Sept, 2019, pelanggan baharu boleh mendaftar untuk pelan Lite unifi baharu sehingga 8Mbps pada RM89 sebulan. 

“Ini merupakan langkah interim sementara rangkaian baharu dilaksanakan hingga 2021 melalui pelbagai teknologi,” menurut TM dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, myunifi app bertujuan memberikan pengalaman yang tenang dan lancar kepada pelanggan dalam menguruskan akaun unifi mereka, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel