q4A8woMH_O8 TNB rugi RM3.2 juta di Kuantan akibat aktiviti bitcoin
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

TNB rugi RM3.2 juta di Kuantan akibat aktiviti bitcoin


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





KUANTAN, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 33 premis sekitar Kuantan diserbu Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana disyaki melakukan pengusikan ke atas peti agihan elektrik untuk menjalankan aktiviti perlombongan matawang kripto Bitcoin sehingga TNB kerugian RM3.2 juta.

Pengurus Besar bagi Pemeteran dan Rangkaian Pengedaran TNB Siti Sarah Johana Mohd Said berkata hasil risikan pihaknya mendapati premis-premis tersebut terlibat dalam aktiviti perlombongan Bitcoin sejak enam bulan lalu.

"Ketika serbuan, TNB berjaya mengumpul bahan bukti daripada 23 premis yang menjalankan akitiviti perlombongan Bitcoin sementara 10 premis lagi berjaya menghidu operasi kali ini (dan) sudah menghapuskan bahan bukti,” katanya kepada pemberita di Wisma TNB Kuantan di sini, hari ini. 

Serbuan Ops Bitcoin itu bermula 10.30 pagi tadi melibatkan 30 pasukan khas dan lima anggota Jabatan Perkhidmatan Keselamatan TNB menggunakan waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Aktiviti perlombongan Bitcoin itu melibatkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi, menyebabkan mereka mencuri bekalan elektrik untuk mengurangkan bil dengan membuat sambungan pintasan daripada peti agihan elektrik secara terus ke dalam premis tanpa melalui meter.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata serbuan pertama TNB di Kampung Jaya Gading di sini mendapati premis Bitcoin itu yang tidak berpenghuni pada masa itu mencatat jumlah arus elektrik tidak bermeter sebanyak 1,500 Amp dan 3 Amp bermeter.

“Seperti yang kita lihat, arus 3 Amp bermeter itu hanya digunakan untuk satu lampu dan kipas sedutan...mereka bayar bil sebanyak RM219, sementara arus 1,500 Amp tidak bermeter yang digunakan sepatutnya dibayar RM108,000 sebulan,” katanya.

“Tuntutan bayar balik ke belakang akan dikenakan kepada pemilik akaun premis. Banyak pemilik tidak berpuas hati kerana tidak mengetahui aktiviti Bitcoin yang dijalankan di premis mereka,” katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Tenaga menyeru pemilik premis agar memberi perhatian terhadap aktiviti yang dijalankan serta membuat pemindahan akaun sementara kepada nama penyewa.  

Mata wang kripto itu membolehkan individu memindahkan nilai antara satu sama lain dan membayar bagi barangan dan perkhidmatan tanpa melalui bank-bank dan sistem kewangan arus perdana, namun ia tidak sah di Malaysia.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti Bitcoin di sekitar kawasan masing-masing untuk menghubungi TNB Careline di talian 1300885454 atau menerusi e-mel tnbcareline@tnb.com.my.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel