Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

HUSM sedia rumah penginapan kepada keluarga pesakit pediatrik kanak-kanak


Tarikh kemaskini: 06/08/2019




KOTA BHARU, 6 Ogos (Bernama) -- Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian secara rasmi hari ini menawarkan kemudahan penginapan Rumah Ronald McDonald (RRM) kepada keluarga pesakit pediatrik kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di hospital itu.

Pengarah Kampus Kesihatan HUSM Datuk Dr Sukari Halim berkata RRM yang disediakan oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia itu bertujuan meringankan beban buat kalangan mereka yang memerlukan.

"RRM mula dibuka Jun lepas dan lebih 30 keluarga pesakit telah menikmati kemudahan itu. HUSM amat bertuah kerana dipilih sebagai lokasi pembinaan RRM. Inisiatif yang dilakukan oleh RMHC ini amat kami hargai kerana telah sama-sama membantu meringankan beban keluarga pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian RRM Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan majlis turut dihadiri Presiden RMHC Azmir Jaafar.

Seorang ibu kepada pesakit kanser darah, Haslina Mamat, 46, berkata kemudahan RRM yang disediakan itu amat meringankan bebannya sebagai ibu tunggal.

Katanya selama anaknya Mohd Adam Shahrul, 6, menjalani rawatan kemoterapi sejak dua tahun lepas di HUSM, beliau biasanya tidur di surau atau bilik menunggu kerana tidak mampu untuk menyewa mana-mana rumah penginapan.

"Biasanya rawatan anak mengambil masa dalam tiga hari untuk sekali rawatan.Oleh kerana tinggal jauh di Kuala Krai saya terpaksa tidur di surau atau mana-mana tempat di HUSM untuk menunggu semua rawatan selesai. Alhamdulillah sekarang saya dapat tinggal di RRM yang sangat selesa, murah malah diberi makan percuma," katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

Sementara itu Azmir berkata RRM kedua dibina di HUSM kerana hospital itu adalah rujukan utama di Pantai Timur yang menerima lebih 20,000 pesakit pediatrik setahun dan kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

"Kami berbesar hati dapat memberi kemudahan RRM ini untuk kegunaan orang ramai lebih-lebih lagi untuk rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Diharapkan dengan adanya rumah ini ibu bapa lebih senang hati dan selesa menghantar anak mereka menjalani rawatan di hospital," katanya.

RRM pertama dibina pada tahun 1999 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur.

Beliau berkata RMHC merancang membina sebuah lagi Rumah Ronald McDonald (RRM) di negara ini dan lokasinya akan ditentukan berdasarkan tahap keperluan orang ramai.

"Kita memang ada rancangan untuk mewujudkan sebuah lagi RRM. Kita sedang dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung perkara ini dan kita jangkakan dapat memuktamadkan perkara itu sebelum hujung tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel