Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mangsa kebakaran mohon bantuan kerajaan negeri


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





KOTA BHARU, 6 Ogos (Bernama) -- Mangsa kebakaran di Kampung Dusun Muda di sini yang memusnahkan sehingga tujuh buah rumah malam tadi berharap kerajaan Kelantan akan dapat membantu mereka membina semula rumah baharu di kawasan itu. 

Siti Sarah Najwa Abu Bakar, 24, yang menganggarkan kerugian dialami sekitar RM30,000 akibat kebakaran itu berkata, dia berharap kerajaan negeri dapat membantu pembinaan semula kediaman baharu di tapak asal. 

“Rumah yang terbakar ini adalah satu-satunya harta pusaka yang keluarga kami ada, namun sekelip mata ia musnah dalam kebakaran malam tadi,” kata peniaga kedai makan itu ketika ditemui Bernama di lokasi kebakaran di sini, hari ini. 

Katanya dalam kejadian malam tadi, mereka sembilan beranak tiada di rumah kerana berada di kedai makan milik bapanya yang terletak hanya kira-kira 20 meter dari lokasi.

“Saya hanya sempat selamatkan televisyen, malah dokumen-dokumen penting juga sudah hangus terbakar malam tadi,” katanya yang tinggal bersama tujuh keluarga yang lain di rumah pusaka satu tingkat milik bapanya itu. 

Beliau berkata kebanyakan keluarga di situ tidak lagi mempunyai tempat untuk berteduh dan kini terpaksa menumpang rumah saudara dan kenalan berdekatan.

Seorang lagi mangsa Halimah Awang, 65, yang merupakan seorang ibu tunggal juga merayu agar diberi tempat tinggal baharu kerana sudah tidak ada tempat untuk dituju. 

“Saya dan anak perempuan kini terpaksa menumpang di rumah saudara kerana tiada lagi tempat yang hendak di tuju dan saya berharap kerajaan negeri dapat memberi bantuan perumahan segera,” katanya. 

Sementara itu, Penghulu Mukim Kampung Dusun, Sabariah Jamaludin berkata setakat ini sudah ada beberapa agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran.

Antaranya adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Penggerak Nasional Kelantan, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Datuk Anuar Tan Abdullah dan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam tadi itu sembilan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tujuh buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun di sini, namun tiada tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel