Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak lelaki lapan tahun selamatkan diri dalam kebakaran


Tarikh kemaskini: 06/08/2019




LANGKAWI, 6 Ogos (Bernama) -- Tindakan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang segera keluar selepas pangsapuri yang disewa keluarga di Jalan Seri Lagenda, di sini terbakar berjaya mengelakkan dari berlakunya musibah lebih besar dalam satu kejadian di sini petang ini.

Ibu kanak-kanak tersebut, Hasniza Othman berkata ketika kejadian, anaknya Syed Al Khayr Syed Al Farly sedang tidur sebelum terjaga selepas menghidu bau asap dan melihat percikan api dari soket yang sedang digunakan untuk mengecas telefon pintar.

"Saya dan suami baru keluar dari rumah kira-kira 20 minit sebelum kejadian kerana ada urusan di luar. Kemudian terima panggilan dari jiran beritahu sebuah rumah di tingkat satu terbakar, saya belum fikir itu rumah sendiri kemudian sepupu yang tinggal di rumah sebelah pula telefon, maklumkan rumah saya terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian petang ini. 

Hasniza berkata dia segera pulang dan mendapati anaknya sudah dibawa turun oleh jiran dan lemah akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran namun selamat.

"Anak beritahu dia nampak percikan api dan cuba padam dengan mencurahkan air namun gagal sebelum bertindak keluar meminta bantuan dari sepupu saya yang tinggal di rumah sebelah. Mereka bersama jiran yang lain bertindak segera turun kerana api semakin besar untuk menyelamatkan diri," katanya sambil menambah seorang lagi anak lelakinya berada di sekolah ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi Mohd Ashmar Mohd Mazlan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.40 petang sebelum sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi serta Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra tiba empat minit kemudian bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Semasa sampai, rumah tersebut masih terbakar, ada jiran yang cuba membantu memadamkan kebakaran manakala kanak-kanak tersebut sudah dibawa keluar. Anggota bomba yang tiba kemudian bertindak mengambil alih proses memadam kebakaran tersebut dan api berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit," katanya.

Beliau berkata kebakaran memusnahkan 80 peratus rumah tersebut dan pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian.

--BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel