Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Imigresen Johor tahan 247 pendatang asing menerusi Ops Mahir


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





KULAI, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Johor menahan 247 pendatang asing pelbagai warganegara menerusi ‘Ops Mahir’ di sebuah kilang konkrit di Jalan Seelong dekat Senai, di sini, hari ini.

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata operasi kira-kira tiga jam bermula pukul 10.30 pagi itu disertai 115 pegawai dari Bahagian Penguatkuasa dan ia merupakan tindakan susulan daripada aduan serta risikan berhubung kehadiran pendatang asing terbabit di kilang tersebut.

“Operasi itu memeriksa seramai 559 pendatang asing, namun, hanya 247 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 termasuk berada dan bekerja di negara ini tanpa pas atau permit yang sah,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi berkenaan.

Baharuddin berkata kesemua yang ditahan merupakan lelaki berumur antara 30 dan 50 tahun iaitu seramai 231 warga Bangladesh, sembilan warga Indonesia, enam warga Pakistan serta seorang warga India.

Beliau berkata turut ditahan, seorang wanita tempatan berumur 36 tahun yang mewakili majikan kesemua pendatang asing berkenaandan pihaknya akan membuka kertas siasatan terhadap kilang yang beroperasi sejak 10 tahun itu. 

"Dalam operasi hari ini, kita (Jabatan Imigresen) tidak menghadapi masalah, semua pendatang asing memberikan kerjasama. Walaupun ada cubaan meloloskan diri tetapi pegawai kita berjaya menanganinya," katanya dengan menambah kilang berkenaan pertama kali diserbu pihaknya.

Menurut Baharuddin, kesalahan majikan akan disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana mengambil pekerja satu atau lebih orang selain daripada warganegara atau pemegang Permit Masuk yang tidak memiliki suatu pas yang sah.

Kesalahan juga boleh disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahui telah melanggar peruntukan akta.

Sementara itu, beliau berkata seramai 3,578 pendatang asing pelbagai warganegara ditahan sejak Jan hingga 31 Julai lepas hasil pemeriksaan terhadap keseluruhan 12,292 pendatang asing menerusi 1,455 operasi penguatkuasaan di sleuruh negeri ini.

“Tangkapan tertinggi adalah melibatkan warga Indonesia dengan seramai 1,322 orang, diikuti Bangladesh (658), India (298), Myanmar (296), Thailand (222), Pakistan (215) manakala bakinya dari negara-negara lain.

"Sepanjang tempoh itu juga seramai 5,403 pendatang asing dari pelbagai negara sudah diusir ke negara asal masing-masing dan seramai 87 majikan turut ditahan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel