Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek ternakan kupang sasar pendapatan tambahan buat Orang Asli Seletar


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





JOHOR BAHRU, 6 Ogos (Bernama) -- Projek ternakan kupang yang dijalankan pihak Petronas bersama Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) khusus untuk nelayan Orang Asli Seletar di Masai, di sini, disasarkan untuk memberi pendapatan tambahan RM200 sebulan kepada golongan terbabit.

Ketua Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Bahagian Pengurusan Risiko PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) Sdn Bhd, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata projek selama tiga tahun di bawah Program Pemulihan Mata Pencarian’ itu dijalankan dengan peruntukan RM1.5 juta.

Ia juga akan dilaksanakan dalam dua fasa, melibatkan keseluruhan 100 nelayan Orang Asli Seletar dari lima buah kampung.

Kampung-kampung tersebut itu adalah Kampung Pasir Salam di Ulu Tiram; Kampung Pasir Putih, Kampung Kuala Masai, Kampung Teluk Jawa dan Kampung Teluk Kabong di kawasan Pasir Gudang. 

Katanya bagi fasa pertama, pihaknya akan menyediakan sebanyak 30,000 ‘tali perangkap kecil’ kecil kepada nelayan untuk menternak kupang manakala pada fasa seterusnya 20,000 tali perangkap lagi akan disediakan.

 “Untuk fasa pertama, kita telah memasang tiga tali besar perangkap kupang (yang bersamaan 3,000 tali perangkap kecil) di Kampung Kuala Masai pada Mac lepas. Baki selebihnya akan dipasang secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini, sebelum disambungkan dengan fasa kedua yang bermula dari hujung tahun hingga awal tahun depan,” katanya dalam sidang media program itu di sini, hari ini.

Anita Azrina berkata pihaknya optimis projek akan dapat memberi manfaat dalam masa terdekat memandangkan hasil tuaian pertama adalah pada September atau Oktober tahun ini.

“Selalunya tempoh matang bagi ternakan kupang adalah antara lima sehingga enam bulan tetapi oleh kerana kita telah memasang tiga tali besar perangkap pada Mac lepas maka hasil tuaiannya sudah tentu dapat dilihat pada September atau Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata pihaknya turut akan bersama memantau projek itu bagi keberlangsungannya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel