Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program ‘Abang Bomba ke Sekolah’ untuk pelajar di Pasir Gudang


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





JOHOR BAHRU, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor mengambil inisiatif menganjurkan program interaktif ‘Abang Bomba ke Sekolah’ untuk pelajar-pelajar sekolah di Pasir Gudang.

Timbalan Pengarah JBPM Johor Pauzan Ahmad berkata program di 22 sekolah itu bertujuan mengalihkan tumpuan dan pemikiran pelajar daripada insiden sesak nafas dan muntah-muntah akibat pencemaran yang berlaku sebelum ini kepada program yang menarik serta mampu memberi manfaat.

Beliau berkata selain mendengar ceramah, pelajar turut berpeluang menyertai aktiviti di enam stesen yang didirikan pihak bomba iaitu stesen alat pemadam api dan tatacara pemadaman api, demonstrasi penggunaan pemotong hidrolik, alat pernafasan, alat komunikasi dan pemakaian baju kalis api.

“Kita mengambil kira bahawa kebanyakan pelajar masih lagi berfikir tentang operasi bomba pada insiden itu, jadi kita buat program ini untuk mengalihkan tumpuan mereka tentang perkara lain.

“Dalam program ini juga kita tidak bercerita tentang operasi lepas tetapi lebih kepada tips keselamatan kebakaran dan kerja-kerja menyelamat. Selain berkongsi pengalaman bersama, pelajar juga diberikan peluang untuk melihat peralatan dan merasai sendiri bagaimana kita bertugas memadam kebakaran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada program di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort, di sini hari ini.

Menurut Pauzan, program ‘Abang Bomba Ke Sekolah’ terbabit disertai seramai 130 anggota bomba seluruh negeri ini.

Beliau berkata program selama tiga hari bermula hari ini akan melibatkan 12 sekolah bagi fasa pertama manakala bakinya selepas cuti persekolahan.

“Kebiasaannya, balai bomba memang ada jadual untuk hadir ke satu-satu sekolah bagi memberikan taklimat, pengungsian bangunan dan beberapa program lain secara kecil-kecilan.

“Kali ini kita buat program besar-besaran dan ia akan diteruskan juga ke kawasan lain. Tambahan pula, cuti persekolahan sudah hampir, jadi dalam masa sama kita juga beri tips keselamatan terutamanya jika mereka mahu melakukan aktiviti dalam air dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel