Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua lelaki ditahan dipercayai cuba pecah masuk rumah


Tarikh kemaskini: 06/08/2019





JOHOR BAHRU, 6 Ogos (Bernama) -- Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan awal hari ini, yang dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah di Jalan Hijau Muda 5, Taman Pelangi, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata kedua-dua mereka yang berumur 27 dan 43 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi tadi ketika sedang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi di Jalan Baiduri 6, Taman Intan, Ulu Tiram, di sini.

“Polis terdahulu menerima laporan daripada seorang suri rumah berumur 49 tahun yang memaklumkan pintu pagar hadapan rumahnya terbuka apabila dia tiba di rumah tersebut kira-kira 2.30 petang semalam.

“Menerusi pemeriksaan kamera litar tertutup pada 3 petang, wanita berkenaan mendapati terdapat dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti cuba memecah masuk ke dalam rumahnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahurinain berkata bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Balai Pelangi Indah berjaya menahan kereta Perodua Myvi dinaiki kedua-dua lelaki tersebut di Jalan Baiduri 6, Taman Intan, Ulu Tiram lalu pemeriksaan menemui pelbagai barangan di dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata kesemua barangan terbabit melibatkan empat beg tangan wanita, empat dompet, sebuah kamera jenis Yashica, sepasang kasut wanita, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, sepana serta alat renjatan elektrik.

Katanya hasil siasatan awal, kedua-dua lelaki yang memiliki rekod jenayah dan dadah itu mengaku cuba memecah masuk rumah berkenaan serta turut terlibat dengan empat kejadian pecah rumah di perumahan sama, sejak awal bulan ini.

Shahurinain berkata kedua-dua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dengan bersembunyi pada waktu malam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel