Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Laporan lengkap disedia bagi projek terbengkalai Penempatan Semula, Pembangunan Bersepadu Gana


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





KOTA MARUDU, 5 Ogos (Bernama ) -- Pejabat Daerah Kota Marudu akan menyediakan laporan lengkap mengenai projek terbengkalai membabitkan pembinaan 150 rumah di Penempatan Semuola dan Pembangunan Bersepadu Gana.

Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi berkata menerusi laporan itu, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca pembinaan rumah tersebut gagal disiapkan.

Laporan itu akan diserahkan kepada agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan khususnya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, katanya kepada Bernama di sini.

Skim penempatan semula itu yang dilaksanakan pada 1997 membabitkan 450 penduduk dari 10 kampung yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Lingkabau.

Kampung tersebut adalah Garung, Kipopogong, Makatol Laut, Makatol Darat, Gouton, Gana, Minsusurud, Nasapu, Toguhu dan Sonsogon Paliu.

Arnold berkata Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu Albert Gunting akan menyediakan laporan itu yang turut merangkumi maklum balas dari pemimpin masyarakat kawasan itu.

Sementara itu, Albert bersama Pegawai Pemaju Masyarakat Kota Marudu Suzie Salapan dan Pemaju Mukim Gana Rudy Aloi telah melawat kawasan penempatan semula itu pada minggu lepas.

Bernama yang turut menyertai lawatan itu mendapati beberapa rumah tidak disiapkan sepenuhnya dan disebabkan terbengkalai lama, dinding kayu rumah sudah rosak dan kawasan sekitar semak dengan belukar.

Ketua kampung Gana Deiwien Aloi mahu kerajaan menyiapkan pembinaan rumah di skim penempatan semula itu yang sangat diperlukan oleh penduduk di kampung terlibat.

Katanya sekiranya penempatan itu siap dan boleh didiami, penduduk kampung akan mendapat tempat tinggal yang selesa dan menikmati kemudahan asas khususnya membabitkan bekalan air dan elektrik.

Sementara itu, Ketua Kampung Kipopogong Dodong Ayak berkata pelaksanaan program penempatan semula dan pembangunan bersepadu Gana itu jika dapat disiapkan dapat membantu penduduk kampung menjana pendapatan menerusi pelaksanaan aktiviti pertanian yang sesuai.

Justeru, katanya, kerajaan negeri dan persekutuan perlu mencari pendekatan terbaik dalam memastikan pelaksanaan program tersebut dapat dijayakan untuk memberi manfaat kepada penduduk.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel