Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Karnival Bahasa Melayu akan diteruskan di setiap daerah - Exco


Tarikh kemaskini: 05/08/2019




MUAR, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan terus memartabatkan Bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat dengan satu daripada perancangannya meneruskan Karnival Bahasa Melayu di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, program berkenaan juga akan dilaksanakan di peringkat sekolah agar ia mampu menanam cintakan Bahasa Melayu sejak kecil.

Antara pengisian dalam program yang dirancang adalah aktiviti mendeklamasi sajak, syair, mengarang esei, berpidato serta berpantun, sekali gus dapat mempertahankan warisan dan penggunaan Bahasa Melayu di pertingkat.

"Dengan adanya program ‘Berbahasa Melayu’ ini… besarlah harapan saya untuk melihat ianya selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara iaitu setiap murid dan pelajar mempunyai kebolehan Berbahasa Melayu dengan baik,” katanya pada majlis penutup Karnival Bahasa Melayu Sekolah Kluster Kecemerlangan Peringkat Kebangsaan 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Ali di sini, hari ini.

Bagi menjayakan usaha itu, pihaknya mengharapkan adanya perkongsian pintar antara peringkat sekolah, agensi swasta, agensi kerajaan dan orang perseorangan termasuk ibu bapa.

Sudah tiba masanya untuk semua pihak mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu sebagaimana sekitar abad ke-13 hingga 19 di mana bahasa berkenaan turut ditutur oleh pedagang luar yang datang dari seluruh pelosok dunia.

“Ketika itu Bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran, diplomasi, undang-undang, ilmu, perdagangan ketatanegaraan, sastera tinggi dan digunakan dalam falsafah.

“Kita tidak mahu bahasa peninggalan nenek moyang kita ini akan terhapus sekiranya tiada usaha untuk memartabatkannya sekali gus menjadi kebanggaan dan identiti negara kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel