Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penemuan bahan kimia: empat anggota masih di hospital


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





KUANTAN, 5 Ogos (Bernama) -- Semua empat anggota polis yang menerima rawatan selepas membuat pemeriksaan terhadap 15 tong bahan kimia di ladang kelapa sawit di Karak, Bentong dekat sini sejak Khamis lepas berada dalam keadaan stabil, namun doktor masih mahu membuat pemantauan sebelum membenarkan mereka keluar wad.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata salah seorang anggota berkenaan diperlukan untuk berada di hospital bagi tempoh yang lebih lama untuk pemantauan, kerana difahamkan antibodinya agak lemah.

Beliau berkata empat lagi anggota yang turut terjejas dalam kejadian itu, yang mendapat rawatan pesakit luar di klinik kesihatan, juga masih diberikan cuti rehat bagi mematikan mereka benar-benar sihat sebelum kembali bertugas.

Beliau yang dihubungi Bernama di sini hari ini berkata pihaknya sedang menyiasat asal bahan kimia dipercayai sodium sianida dalam bentuk pepejal itu, yang lazimnya digunakan dalam perlombongan emas bagi mencuci bahan galian berkenaan.

"Kita sedang lihat jika ada unsur jenayah dalam penemuan bahan kimia itu, jika ia dicuri dari lombong berhampiran atau di tempat lain dan mahu dijual kepada pengusaha lombong sekitar, kerana mereka yang menggunakannya sudah pasti terbabit dalam industri sama," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tong itu ditinggalkan bagi tujuan pelupusan apabila pemiliknya enggan mengeluarkan kos untuk melupuskan bahan itu mengikut kaedah yang diwajibkan oleh undang-undang, yang memerlukan pelupusan di buat di kawasan tertentu yang dibenarkan sahaja.

Merujuk kejadian Khamis lepas, Abd Jalil berkata lapan anggota yang berpangkat Sarjan dan Konstabel itu mendakwa  pening kepala dan loya, tidak lama selepas berada di lokasi tong berkenaan ditemui, dipercayai selepas terhidu bahan kimia itu.

Katanya, semua anggota terlibat meminta izin untuk pulang kerana tidak sihat, selepas ketibaan pasukan Jabatan Alam Sekitar dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Mereka meminta kebenaran pegawai atasan untuk dilepaskan daripada tugasan lebih awal, namun sebagai langkah berjaga-jaga, pegawai mengarahkan mereka ke klinik kesihatan di mana empat daripadanya dimasukkan ke Hospital Bentong," katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan empat anggota polis ditahan di hospital manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar selepas mengadu tidak sihat selepas membuat pemeriksaan di lokasi penemuan tong-tong itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel