Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan tiga lelaki geng curi komponen motosikal berkuasa tinggi


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tiga orang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes-kes curi komponen motosikal dengan menyasarkan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi yang tinggal di hotel-hotel di sekitar George Town, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata tiga lelaki berumur antara 23 dan 31 tahun itu ditahan 3.20 petang di sekitar Georgetown dan Bukit Mertajam, dekat sini.

"Terdahulu polis menerima laporan yang dibuat seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Thailand yang menginap di sebuah hotel di Jalan Macallum, di sini selepas komponen motosikalnya dan dua lagi rakan didapati hilang kira-kira pukul 6.25 petang Sabtu," katanya di sini hari ini.

Katanya semua penunggang motosikal berkuasa tinggi itu singgah di Pulau Pinang selepas berkonvoi dari ibu kota, dalam perjalanan menuju ke Thailand.

Beliau berkata dalam kejadian itu suspek mencuri tiga unit angkup brek, dua pam brek, sebuah topi keledar jenama BMW, dua set kotak peralatan dan alat pengecas motosikal yang jumlah semuanya dianggarkan RM40,000.

Che Zaimani berkata susulan laporan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hotel, polis berjaya menjejaki dan menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan itu serta merampas semula barang yang dicuri mereka.

"Siasatan mendapati dua lelaki itu bertindak sebagai pencuri manakala seorang lagi rakan mereka yang menjadi ‘mastermind’ (dalang) mengatur rancangan dan menjual barang yang dicuri mereka dengan harga murah,"katanya.

Katanya selain itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk mencuri komponen motosikal itu dan hasil pemeriksaan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri komponen kenderaan dan polis percaya dengan penahanan mereka pihaknya dapat menyelesaikan beberapa kes curi komponen motosikal berkuasa tinggi di daerah ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel