Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemain industri, ahli akademik digesa bekerjasama pacu penyelidikan produk nanobahan


Tarikh kemaskini: 05/08/2019




GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Pemain industri dan ahli akademik digesa bekerjasama secara strategik dalam memacu penyelidikan produk nanobahan hijau yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman hari ini berkata kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi produk nanobahan yang lestari ini adalah penting selaras dengan hasrat agenda wawasan Pulau Pinang 2030: Negeri Hijau dan Pintar berasaskan nilai kekeluargaan.

"Saya berharap dalam era revolusi perindustrian 4.0 ini, kita tidak sepatutnya ketinggalan dengan mempergiatkan lagi kolaborasi rentas bidang dan geografi bagi mencipta kemungkinan peluang baharu menerusi rekabentuk, pembangunan dan perkhidmatan produk baharu berasaskan nanobahan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Nanobahan: Sains Kejuruteraan dan Teknologi 2019 di sini.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Masyarakat negeri berkata persidangan antarabangsa ini amat tepat pada masanya kerana ia dapat menyediakan satu platform perkongsian dan jalinan pintar kepada pakar-pakar nanoteknologi dari dalam dan luar negara.

"Bidang nanobahan ini sewajarnya menggemblengkan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti saintis, jurutera dan teknologis dalam menghasilkan produk yang lebih berimpak dan mesra alam kepada pengguna dalam pasaran yang lebih kompetitif," katanya.

Persidangan yang julung kali dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang itu disertai oleh 160 peserta dari lima negara termasuk Jepun, Indonesia, Iran, Arab Saudi dan Jordan yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, saintis, pemain industri dan juga pelajar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel