Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang Asli Seletar dibenarkan pinda senarai responden bagi selesai isu pampasan tanah


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi, di sini hari ini membenarkan 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai meminda dua senarai responden mereka bagi menyelesaikan isu pampasan tanah di Stulang laut, di sini, yang masih tertangguh sejak sembilan tahun lepas.

Peguam Tan Poh Lai yang mewakili kesemua Orang Asli berkenaan berkata pada prosiding hari ini, Hakim See Mee Chun memberikan kebenaran untuk menggantikan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pentadbir Tanah Daerah Johor Bahru sebagai resposden baharu dengan menggugurkan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MBJPBT) dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) sebagai responden sebelum ini.

“Permohonan semakan kehakiman mandamus bagi menyelesaikan isu pampasan tanah ini masih di peringkat teknikal dan belum sampai ke peringkat substantif iaitu bayaran pampasan.

“Senarai responden baharu ini selepas kita mengambil kira alasan dua pihak sebelum ini (MPJBT dan PTG) yang mengatakan mereka tidak mempunyai kuasa dan terlibat dalam kawasan tanah disebutkan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di mahkamah hari ini.

Tan berkata sehubungan itu, pihaknya akan memfailkan permohonan bagi mengemukakan dua nama responden baharu terbabit pada 17 Sept depan, seperti yang ditetapkan mahkamah.

Sementara itu, mengenai perkembangan rundingan antara PTG dengan pihak plaintif seperti digalakkan mahkamah supaya kes itu dapat diselesaikan di luar mahkamah, beliau berkata kerajaan negeri ada mewakilkan seorang Exco bagi melakukan rundingan.

“Saya ada berjumpa dengan wakil (Exco) itu dua minggu lepas, namun, setakat hari ini belum ada perkembangan positif mengenainya,” katanya yang enggan menamakan Exco tersebut.

Terdahulu, diketuai Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, kesemua Orang Asli tersebut sebelum ini berjaya dalam saman pemula yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap tiga defendan pada 2008 iaitu Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Sept 2010, semua Orang Asli itu perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, berhubung pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang dan pampasan itu perlu ditaksir oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.

Pada 3 Jun lepas, permohonan semakan kehakiman mandamus difailkan bagi mengarahkan Pengarah PTG Johor selaku responden pertama melaksanakan penaksiran tanah itu selaras dengan akta dan perintah terbabit.

Pada 18 Jun lepas mahkamah turut menggalakkan PTG Johor supaya mengadakan rundingan dengan kesemua Orang Asli berkenaan bagi membolehkan kes itu diselesaikan di luar mahkamah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel