Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Buluh antara bahan alternatif ganti cerucuk binaan - pakar


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





MELAKA, 5 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Penyelidikan Geoteknikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang mengkaji penggunaan buluh, serat semula jadi dan bahan buangan tertentu bagi menggantikan penggunaan cerucuk untuk pembinaan struktur di tanah lembut.

Ahli Bersekutu Kumpulan Penyelidikan Geoteknikal UTM Prof Dr Khairul Anuar Kassim berkata bahan tersebut merupakan kaedah alternatif untuk memperkukuh struktur binaan bagi mengurangkan risiko berlakunya mendapan.

"Selalunya penyelesaian bagi mengurangkan insiden mendapan di kawasan tanah lembut, kita guna cerucuk kerana ia akan masuk sampai ke lapisan kukuh di dasar tanah terlibat.

"Namun, buluh mungkin boleh digunakan menggantikan cerucuk tetapi kosnya lebih tinggi...ia akan dikaji bersama Jabatan Kerja Raya dan pihak industri dari aspek kesesuaiannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian 'International Symposium on Soft Ground Improvement 2019' di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew yang turut dihadiri Pengarah Pusat Geokejuruteraan Tropika UTM Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Ismail Abd Rahman.

Sementara itu, Khairul Anuar yang juga Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UTM berkata pembangunan di kawasan sepanjang pantai barat dan timur Malaysia dikesan mempunyai keadaan tanah liat lembut yang berisiko menyumbang kepada insiden mendapan sekiranya kaedah kejuruteraan terbaik dan terkini tidak diguna pakai.

"Kebanyakan ketebalan tanah liat di kawasan pinggir pantai itu ialah antara 20 hingga 30 meter dan pembangunan di situ memerlukan penggunaan cerucuk bagi memastikan struktur bangunan yang dibina kukuh dan kurang terkesan jika mendapan berlaku," katanya.

Beliau berkata bagi pembangunan di atas kawasan tambak laut pula, pemilihan bahan yang ditambak penting agar tidak mengganggu aliran air di dasar laut.

Sementara itu, Edy Tonnizam berkata simposium yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan kira-kira 200 pakar kejuruteraan teknikal tanah dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Jepun dan China untuk berkongsi pengalaman dan ilmu berkaitan pembangunan di tanah liat.

"Pada simposium ini, ramai pakar dari dalam dan luar negara yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun dengan permasalahan tanah lunak atau lembut termasuk daripada pihak industri hadir," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel